Mengapa ambil masa lama nak tutup rumah urus mayat tiada lesen, soal penduduk

Mengapa ambil masa lama nak tutup rumah urus mayat tiada lesen, soal penduduk

Penduduk Jalan Telipok muak dengan kesesakan lalu lintas dan orang luar yang hadir di sekitar kawasan kejiranan mereka disebabkan operasi perniagaan berkenaan.

Presiden Persatuan Penduduk Jalan Telipok, Klang, Dr Elangovan Krishnan berkata, MPK mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikan kes rumah mayat tanpa lesen di situ .
PETALING JAYA:
Penduduk Jalan Telipok mempersoalkan ketidakupayaan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menutup sebuah rumah urus mayat yang beroperasi tanpa lesen di kawasan mereka.

Penduduk muak dengan kesesakan lalu lintas dan orang luar yang hadir di sekitar kawasan kejiranan mereka dan telah mengadu kepada MPK mengenainya, yang pada tahun lalu mengesahkan premis itu beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

Dr Elangovan Krishnan, presiden persatuan penduduk berkata, selain tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah, premis berkenaan tidak boleh beroperasi di situ kerana ia diwartakan sebagai kawasan kediaman.

Menurut beliau, enam bulan lepas MPK berkata, pihaknya sedang menunggu perintah mahkamah untuk mengosongkan premis perniagaan berkenaan.

Penduduk Jalan Telipok, Klang, Amirtharaj Savarimuthu.

“Kes ini mudah, tetapi saya tertanya-tanya kenapa MPK mengambil masa yang lama untuk menjalankan tugas mereka.

“MPK sepatutnya tutup sahaja operasi perniagaan tak sah. Kenapa perlu tunggu perintah mahkamah? Nampaknya sangat mencurigakan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Amirtharaj Savarimuthu turut menyeru agar MPK mengambil “tindakan serius”.

Katanya, kanak-kanak dan golongan wanita berasa tidak selamat di kawasan kejiranan mereka sendiri disebabkan kehadiran ramai orang luar.

“Terutamanya dengan Covid-19, (rumah urus mayat) kini menjadi isu besar. Kami berharap MPK dapat memberikan kami persekitaran yang selamat untuk didiami,” katanya.

Pengarah Komunikasi MPK Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan untuk membawa kes itu ke mahkamah.

“MPK telah menasihati pengusahanya agar menghentikan operasi,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Pada 5 Okt, Exco Selangor Teng Chang Khim memaklumkan kepada Elangovan bahawa sebuah jawatankuasa negeri mengenai agama-agama bukan Islam bersetuju dengan keputusan MPK untuk tidak meluluskan permit perancangan rumah urus mayat berkenaan.

Rumah urus mayat di Jalan Telipok yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

“Tindakan lanjut mesti diambil oleh MPK,” katanya dalam suratnya.

Ketika ditanya mengenai situasi ini, pemilik bersama premis berkenaan, Terrence Lim berkata, beliau telah memohon lesen tetapi tidak diluluskan.

“Saya hanya mempunyai pendaftaran SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) pada masa ini, namun tiada lesen perniagaan kerana MPK asyik menolak (untuk meluluskannya).”

Kata Lim, banyak perniagaan lain di Klang turut mengalami masalah dengan permohonan mereka. “Masalah saya adalah bangunan itu tidak diluluskan.”

Beliau mengambil alih perniagaan daripada pemilik sebelumnya dua tahun lalu, katanya, dan tidak sedar tuan tanah tidak menyerahkan pelan bangunan kepada MPK.

Kesesakan lalu lintas di Jalan Telipok yang didakwa penduduk berpunca daripada upacara pengurusan mayat.

Katanya, bangunan rumah urus mayat berkenaan dimiliki oleh kuil di sebelahnya yang wujud lebih separuh abad sebelum rumah-rumah dibina di kawasan berkenaan.

Tambahnya, kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan berpunca daripada dua sekolah dalam kawasan itu, manakala mengikut prosedur operasi standard Covid-19, hadirin bagi perkhidmatan mereka dihadkan.

“Saya rasa, penduduk terlalu banyak merungut. Saya hanya cuba menjalankan perniagaan di sini,” katanya.

“Jika betul-betul tak boleh (jalankan perniagaan), MPK perlu datang tamatkan operasi serta-merta, bukan beri harapan kepada kami dan mengeluarkan saman.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.