Rakyat Malaysia dalam bicara Guantanamo dakwa penterjemah berat sebelah

Rakyat Malaysia dalam bicara Guantanamo dakwa penterjemah berat sebelah

Mohammed Nazir Lep mahu dibicara semula selain meminta kerajaan Amerika Syarikat (AS) melantik penterjemah yang lebih cekap.

Peguam Mohammed Nazir Lep, Brian Bouffard berkata, kerajaan Amerika Syarikat (AS) gagal mendapatkan penterjemah Bahasa Melayu yang cekap.
PETALING JAYA:
Seorang rakyat Malaysia yang sedang dibicarakan atas tuduhan keganasan di Teluk Guantanamo berusaha membatalkan perbicaraan dengan menyatakan penterjemah yang disediakan tidak cekap dan seorang penterjemah Indonesia yang membantu pendakwaan berat sebelah.

Mohammed Nazir Lep berkata, tahun lalu penterjemah Indonesia menyatakan “Saya tidak tahu mengapa kerajaan membuang begitu banyak wang untuk pengganas ini; mereka semestinya sudah lama dibunuh”.

Satu usul yang disiarkan di laman web pejabat Suruhanjaya Ketenteraan Amerika Syarikat (AS) berkata “berat sebelah jelas dan nyata menghalangnya berfungsi sebagai suara pengadilan yang benar, tepat dan tidak berat sebelah”.

Nazir, bersama seorang lagi warga Malaysia, Mohammed Farik Amin dan Encep Nurjaman dari Indonesia, yang lebih dikenali dengan nama Hambali, menolak untuk mengemukakan pengakuan ketika mereka diadili pada 30-31 Ogos, dengan alasan ketidakcekapan penterjemah mengakibatkan terjemahan tidak tepat.

Peguam utama Nazir, Brian Bouffard dalam usul itu berkata, Nazir tidak dapat memastikan dan memahami proses pengadilan dalam bahasa asalnya (Bahasa Melayu) dan terpaksa beralih untuk mendengarnya dalam Bahasa Indonesia, “bahasa yang dia agak faham”.

Bouffard berkata, kerajaan AS belum mendapatkan penterjemah Bahasa Melayu yang cekap “walaupun terdapat banyak masa yang dimiliki kerajaan untuk mempersiapkan pendakwaan kes ini”.

Beliau berkata, Nazir telah ditahan selama 18 tahun dan meminta mempercepatkan perbicaraan.

Bouffard berkata, kerajaan AS akhirnya mengakui bahawa kurangnya pemahaman Nazir dalam bahasa lain selain Bahasa Melayu mungkin mengelirukan pihak berkuasa AS sehingga mempercayai bahawa dia menipu.

“Ini mengakibatkan dia diseksa dan disoal siasat secara ganas di tempat yang disebut sebagai ‘lokasi rahsia’,” kata Bouffard.

Bouffard berpendapat perbicaraan Nazir tidak sempurna dan perlu dijalankan sekali lagi secara tepat.

Ketika dihubungi, Bouffard memberitahu FMT bahawa suruhanjaya itu belum membuat keputusan mengenai permohonan itu.

Ketiga-tiga suspek, yang disebut sebagai “pejuang musuh asing tanpa hak” beberapa kali dalam afidavit, berdepan lapan pertuduhan termasuk tujuh yang berkaitan dengan pengeboman yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 – serangan pengganas yang mengorbankan paling ramai di Indonesia – dan pengeboman di Hotel JW Marriott, Jakarta pada Ogos 2003.

Lapan tuduhan tersebut adalah konspirasi, pembunuhan, percubaan pembunuhan, dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang serius, keganasan, menyerang orang awam, menyerang benda awam dan pemusnahan harta benda.

Ketiga-tiga lelaki itu ditangkap di Thailand pada 2003 dan dihantar ke lokasi rahsia yang dikendalikan CIA sebelum dipindahkan ke penjara tentera di Teluk Guantanamo pada 2006.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.