Paip pecah, 145 kawasan di Sepang, 11 di Kuala Langat alami gangguan air

Paip pecah, 145 kawasan di Sepang, 11 di Kuala Langat alami gangguan air

Bagi memastikan kerja-kerja pembaikan paip berjalan lancar, Air Selangor telah menutup bekalan air pada jam 9 malam, 18 Okt.

Lori tangki akan digerakkan ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
PETALING JAYA:
145 kawasan di Wilayah Sepang dan 11 kawasan di Wilayah Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air susulan berlaku satu insiden paip pecah.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, bagi memastikan kerja-kerja pembaikan paip berjalan lancar, Air Selangor telah menutup bekalan air pada jam 9 malam, 18 Okt.

“Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa satu insiden paip pecah telah berlaku berhampiran Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kg Chinchang, Salak Tinggi, Sepang.

“Kerja-kerja pembaikan paip pecah ini sedang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.”

Tambahnya, untuk mendapatkan maklumat terkini pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor menerusi aplikasi Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.