Bukan sengaja lewat cabar pembubaran DUN tapi tunggu warta, kata Adly

Bukan sengaja lewat cabar pembubaran DUN tapi tunggu warta, kata Adly

Pengerusi PH Melaka berkata beliau yakin pembubaran pada 4 Okt lalu tidak sah dan peguam akan segera memfailkan kes di Mahkamah Tinggi minggu ini.

Adly Zahari berkata, PH bagaimanapun tetap membuat pelbagai persiapan menjelang PRN berdasarkan pelbagai kemungkinan menjelang tarikh berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) Melaka bukan sengaja melambat-lambatkan usaha memfailkan kes bagi mencabar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya mendakwa ia berpunca daripada kelewatan kerajaan sementara mengeluarkan pewartaan pembubarannya.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, PH Melaka positif pilihan raya negeri (PRN) tidak diadakan kerana yakin pembubaran DUN pada 4 Okt lalu dilakukan secara tidak sah.

Susulan itu, pasukan peguam PH minggu ini akan memfailkan kes untuk mencabar pembubaran berkenaan dan keabsahan pembentukan kerajaan sementara di Melaka.

“Hari ini pewartaan pembubaran DUN dijangka dikeluarkan dan sebaik sahaja ia diperoleh, pasukan peguam kami akan segera memfailkan kes di Mahkamah Tinggi negeri pada minggu ini juga.

“Jika pewartaan itu kami peroleh minggu lalu, sudah pasti usaha memfailkan kes dibuat minggu lalu juga,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu berkata, PRN Melaka tidak perlu diadakan kerana usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19 masih belum berjaya sepenuhnya.

Adly berkata, selain itu, PRN hanya akan menyebabkan kewangan semua parti yang terbabit dalam kempen pilihan raya dibazirkan begitu saja sedangkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan hanya dalam lingkungan setahun setengah sahaja lagi.

Katanya, sepatutnya DUN tidak perlu dibubarkan dan kuasa pentadbiran negeri diserahkan kepada pemimpin PH bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa tetapi dengan dasar berbeza berbanding Barisan Nasional (BN).

“Bagaimanapun PH tetap membuat pelbagai persiapan menjelang PRN berdasarkan pelbagai kemungkinan menjelang tarikh berkenaan. Sambil memfailkan kes, kami tetap membuat persiapan dari aspek perbincangan dengan rakan dalam PH mengenai pembahagian kerusi.

“Kami juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak mengenai parti yang bakal disertai empat ADUN yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali yang menyebabkan kerajaan BN tumbang pada 4 Okt lalu,” katanya.

Adly berkata, terpulang kepada bekas ADUN Sungai Udang Idris Haron, Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) untuk menyertai mana-mana parti dalam komponen PH.

Beliau berkata, Sulaiman yang tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti juga tidak wajar menasihati Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Mohd Rustam untuk membubarkan DUN.

Katanya, pembubaran DUN dibuat tanpa mengambil kira pandangan kumpulan yang mempunyai sokongan majoriti ADUN.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt dengan pengumuman mengenainya dibuat Speaker DUN, Ab Rauf Yusoh, yang juga Pengerusi Umno Melaka dengan mendakwa ia dipersetujui Yang Dipertua Negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.