
Mohamad Saddam Ahmad Zaidun, 30, dituduh menipu dua lelaki berusia 28 dan 21 tahun dalam urusan jual beli bumbung suria kereta jenis Proton Inspira dan Toyota Camry dengan mendorong mereka membayar wang pendahuluan RM500 setiap seorang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 480, Tingkat Perusahaan 4B, Kawasan Perusahaan Perai, pada 11.12 pagi, 1 Feb lepas dan di Tingkat 1, Flat D2, Jalan Perai Jaya 3, Bandar Perai Jaya 3, Perai pada 8.12 malam, 8 Mac lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan, menurut laporan Bernama.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 24 Nov selain bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya R Lushani dan Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali.