ADUN Kunak nafi akan keluar Warisan

ADUN Kunak nafi akan keluar Warisan

Norazlinah Arif berkata, dakwaan terbabit hanya satu fitnah dan berniat jahat untuk mencetuskan provokasi serta mengelirukan pengundi Warisan khususnya di Kunak.

ADUN Warisan, Norazlinah Arif nafi akan keluar parti itu. (Gambar Bernama)
KUNAK:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak Norazlinah Arif menafikan dakwaan vbahawa dia akan keluar daripada Warisan dalam tempoh terdekat seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan baru-baru ini.

Beliau berkata, dakwaan terbabit hanya fitnah dan berniat jahat untuk mencetuskan provokasi serta mengelirukan pengundi Warisan khususnya di Kunak.

“Saya masih kekal berjuang bersama pucuk pimpinan Warisan yang diketuai Presidennya, Shafie Afdal sekali gus memberi fokus membantu rakyat selepas diberikan mandat pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya masih menjadi wakil rakyat di bawah payung parti Warisan, dakwaan itu hanya satu bentuk propaganda politik sahaja.

“Saya tetap memilih untuk membela rakyat, sesuai dengan kapasiti pembangkang untuk terus menyuarakan hak rakyat dengan sebaik mungkin seterusnya membantu Presiden memantapkan ahli di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan.

Norazlinah berkata, setakat ini beliau tidak melihat usaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membela rakyat termasuk menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Bantuan bakul makanan pun mereka sudah gagal dalam melaksanakannya kerana masih ramai yang terkesan tidak menerimanya. Oleh sebab itu, saya mahu fokus dengan tugas selaku wakil rakyat bagi membantu rakyat di kawasan Kunak,” katanya.

Norazlinah berkata, beliau bertuah kerana semua penyokong serta rakyat yang menemuinya sentiasa kekal serta menyokong perjuangan Warisan.

“Dakwaan saya keluar parti kerana kecewa dengan perjuangan Presiden Warisan yang semakin hilang arah juga adalah palsu dan fitnah tapi saya yakin pengundi serta penyokong saya di DUN Kunak tidak terpengaruh dengan berita palsu ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.