
Menterinya, Rina Harun, berkata 20,406 sukarelawan Skuad Waja telah dilatih di seluruh negara setakat ini di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Wanita.
“Kes keganasan rumah tangga semakin meningkat dan membimbangkan. Menurut statistik polis, sejumlah 5,821 kes dilaporkan dan kertas siasatan dibuka dari Januari hingga September 2021, berbanding 3,677 kes dalam tempoh sama pada 2020.
“Peranan Skuad Waja dalam komuniti terutama dalam tempoh pandemik ini sangat bermakna. Ia menjadi tunjang kekuatan baharu KPWKM dalam menjayakan agenda pemerkasaan Keluarga Malaysia menerusi fokus keenam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya kepada media menurut laporan Bernama, selepas melancarkan Skuad Waja peringkat kebangsaan, di Sepang.
Skuad Waja ditubuh pada 8 Mac lalu sempena sambutan Hari Wanita bagi memperkasa komuniti melalui psikososial dan aktiviti bimbingan dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu jenayah.
Rina berkata, hasil pelaksanaan Skuad Waja hingga 12 Oktober lalu, sebanyak 775 kes berjaya dibimbing dan dibantu.
Beliau berkata, setiap ahli berdaftar akan diberi panduan menerusi modul Skuad Waja yang dibangunkan JPW, dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia untuk memberi bantuan dan bimbingan awal kepada mangsa.
“Modul tersebut memfokus kepada penyampaian ilmu serta kemahiran asas psikologi dalam usaha meningkatkan keseimbangan kendiri, keluarga dan komuniti setempat serta masyarakat keseluruhannya di samping pengetahuan literasi undang-undang,” katanya.
Rina berkata, KPWKM juga memulakan perkhidmatan telekaunseling dan e-kaunseling melalui Tol Free Helpline FamilyCare @ LPPKN (Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara) di talian 1-800-82-0300 sejak bulan lalu, bagi menangani isu berkaitan keluarga, pasangan dan perkahwinan.
Katanya, beberapa kes berjaya disantuni di bawah inisiatif LPPKN melalui talian itu sama ada secara dalam talian atau bersemuka.
Beliau berkata inisiatif itu akan dilancar secara rasmi dalam masa terdekat.