Belanjawan 2022: MEF mahu program subsidi upah, moratorium pinjaman diteruskan

Belanjawan 2022: MEF mahu program subsidi upah, moratorium pinjaman diteruskan

MEF berharap Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dirangka untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dapat direalisasikan.

Program subsidi upah yang memberikan bantuan kewangan berjumlah RM18 Bilion telah menyelamatkan kira kira 300,000 majikan dari gulung tikar, menurut Syed Hussain Syed Husman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Inisiatif program subsidi upah dan moratorium pinjaman terutamanya yang tidak mengenakan kadar faedah sepanjang pelaksanaan hendaklah diteruskan dalam Belanjawan 2022, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya Syed Hussain Syed Husman berkata, inisiatif tersebut dapat membantu melindungi serta memulihkan ekonomi agar sektor perniagaan kembali stabil dan majikan mampu mengekalkan pekerja mereka.

“Sebagai contoh program subsidi upah yang memberikan bantuan kewangan berjumlah RM18 Bilion telah menyelamatkan kira kira 300,000 majikan dari gulung tikar,” katanya kepada FMT yang turut berharap Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dirangka untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dapat direalisasikan.

Hussain berkata, Belanjawan 2022 hendaklah inklusif dan memastikan tiada perniagaan yang tidak dibantu dan tercicir, susulan ramai yang terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman.

Selain itu, beliau mencadangkan cukai korporat diturun kepada 18%, ini kerana cukai korporat syarikat bukan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang ketika ini di paras 24% dilihat tidak kompetitif jika dibandingkan dengan kadar cukai korporat di ASEAN.

Menurutnya, untuk menggalakkan perbelanjaan dalam negara, MEF menyarankan agar cukai jualan juga perlu dikaji semula dan ditangguh untuk suatu jangka waktu tertentu.

Mengambil contoh kesan penggantungan cukai jualan kenderaan, beliau berkata langkah tersebut menunjukkan kesan positif dan jualan kenderaan baharu menunjukkan prestasi baik sepanjang tahun 2020 dan 2021.

“Penting Belanjawan 2022 memastikan kesinambungan inisiatif yang dilaksanakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk memulihkan ekonomi dari daripada keadaan tidak menentu sepanjang Pandemik Covid-19,” ujarnya.

Tambahnya, Belanjawan 2022 juga perlu mengambil kira isu berkaitan simpanan hari tua, jelasnya, penurunan cukai individu dapat membantu golongan pekerja menggunakan wang berkenaan untuk kegunaan masa depan.

Pada masa sama, Hussain berkata, Belanjawan 2022 diharapkan mampu menangani isu kenaikan harga, ujarnya peningkatan yang berterusan itu menyebabkan timbul keadaan gaji tidak dapat mengimbangi kenaikan harga.

Bagi masalah pengangguran dalam kalangan graduan dan belia pula, MEF berpandangan adalah penting untuk Belanjawan 2022 menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), susulan kadar pengangguran sudah melebihi 12%.

“Justeru Kerajaan hendaklah memberi lebih banyak insentif untuk melatih graduan supaya mereka mempunyai kemahiran yang diperlukan dan lebih mudah untuk mendapat pekerjaan.”

Seterusnya, MEF juga mahu agar infrastruktur digital serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ditingkatkan dalam sektor ekonomi, sosial, perniagaan dan pekerja dengan mewujudkan beberapa insentif termasuk pelepasan cukai berganda.

“Bagi sektor perniagaan dan pekerja, aplikasi dan infrastruktur digital memainkan peranan penting sepanjang PKP bagi memastikan mereka kekal beroperasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.