Tommy Thomas, bekas ketua SPRM disaman atas ‘pendakwaan berniat jahat’

Tommy Thomas, bekas ketua SPRM disaman atas ‘pendakwaan berniat jahat’

Bekas Pengerusi AIAC, N Sundra Rajoo turut memfailkan tuntutan untuk penahanan salah, pelanggaran hak asasinya dan konspirasi untuk mencederakannya dengan cara tidak sah.

N Sundra Rajoo menuntut ganti rugi khas dan am, teruk dan teladan yang berjumlah RM3.6 juta untuk dinilai oleh mahkamah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) memfailkan saman terhadap 11 individu, termasuk bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dan bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Shukri Abdull atas dakwaan menyalahgunakan kuasa dalam jawatan awam dan pendakwaan berniat jahat.

Bekas Pengerusi AIAC, N Sundra Rajoo turut memfailkan tuntutan untuk penahanan salah, pelanggaran hak asasinya dan konspirasi untuk mencederakannya dengan cara tidak sah.

Dalam pernyataan tuntutan yang dilihat FMT, katanya, tindakan itu menjejaskan beliau dari segi reputasi, integriti, nama baik, kebebasan dan maruah, selain mengalami penderitaan mental, penghinaan dan kegelisahan.

Sundra, yang memfailkan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi di sini, semalam menuntut ganti rugi khas dan am, teruk dan teladan yang berjumlah RM3.6 juta untuk dinilai oleh mahkamah.

Katanya, defendan itu sudah dimaklumkan yang beliau kebal daripada sebarang tindakan.

Ini disahkan apabila Mahkamah Tinggi pada Disember 2019 memutuskan pembatalan imunitinya bertentangan Perjanjian Negara Tuan Rumah 2013 yang ditandatangani Putrajaya dengan Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO).

Ia turut didedahkan yang Wisma Putra telah menulis surat kepada AALCO, badan induk AIAC, untuk mengetepikan kekebalan Sundra, tetapi ditolak Setiausaha Agungnya.

Pada 30 April lalu, panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan penghakiman Mahkamah Tinggi itu.

Sundra mendapat perhatian pada Oktober 2018, apabila sepucuk surat layang dihantar kepada Shukri dan kemudiannya diedarkan dalam bidang perundangan, termasuk Thomas, Peguam Negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020.

Katanya, pada November 2018, SPRM melakukan serbuan di premis AIAC di sini ketika beliau berada di Zurich, Switzerland, atas urusan rasmi.

Menurut Sundra, sekembalinya pada 20 Nov, SPRM menahannya di Putrajaya semalaman dan tidak dibenar mendapatkan khidmat guaman.

Beliau dihadapkan ke mahkamah keesokannya, tetapi permohonan reman terhadapnya ditolak.

Tetapi, katanya, prosiding ditangguhkan selepas pembantu Thomas, Khong Hui Li bercakap dengan salah seorang peguamnya, Philip Koh.

Sundra berkata, Thomas mahu beliau segera melepaskan jawatan Pengerusi AIAC, yang dilakukannya akibat tekanan hebat.

Katanya, SPRM meneruskan siasatan mereka, walaupun beliau mempunyai kekebalan.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 16 Mac 2019 atas tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah RM1.1 juta untuk pembelian bukunya oleh AIAC, yang sudah diluluskan AALCO.

Sundra didakwa melakukan kesalahan itu di premis AIAC di Jalan Sultan Hishamuddin di sini antara 17 Ogos dan 8 Dis 2018.

Katanya, beliau turut tertakluk kepada penahanan salah oleh SPRM selama 21 jam dengan pegawai SPRM, Mohd Adrian Zaiman Zainiar, Md Yusrin Md Yusof, Thomas dan Shukri bertanggungjawab secara bersama atas pelanggaran itu.

Pegawai SPRM lain yang dinamakan adalah Md Yusrin Md Yusof, Mohd Fadhly Mohd Zamry, T Nesavan, G Sharan Raj, Hasmizzy Md Hasim, Kamal Baharain Omar dan Mohd Zaki Mohd Salleh.

Sundra turut menamakan MACC dan kerajaan sebagai defendan bertanggungjawab atas tindakan individu terbabit.

Beliau berkata, Thomas, Shukri, Fadhly, Kamal, Khong dan Zaki bertanggungjawab secara bersama selaku pelaku tort untuk pendakwaan berniat jahat.

Katanya, Thomas dan Shukri menyalahgunakan kuasa dalam jawatan awam atas penahanan dan pendakwaan, peletakan jawatan paksa, dan melantik mendiang Vinayak Pradhan sebagai Pengarah AIAC.

Katanya, semua plaintif melanggar hak asasinya di bawah Perkara 5(1) dan 8 Perlembagaan Persekutuan serta berkomplot untuk mencederakannya melalui cara tidak sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.