
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 65 tahun pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai “Omar Safari”.
Lelaki itu mendakwa merupakan wakil syarikat insurans dan memaklumkan bahawa wanita itu kononnya mempunyai tuntutan insurans kemalangan sebanyak RM36,800.
Dia kemudiannya didakwa “menyambungkan” panggilan ke Balai Polis Pudu, Selangor dan bercakap dengan seorang anggota polis yang memberitahu bahawa kes mangsa turut membabitkan seorang lelaki dikenali sebagai Lim Lam Beng.
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof, “Omar” kemudian menyambung panggilan kepada seorang lelaki didakwa inspektor polis yang menyatakan mangsa terbabit dengan kes pengumpulan wang haram sebanyak RM2.18 juta.
Katanya, mangsa yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang diarahkan supaya membuat penukaran kad ATM dan meletakkan nombor telefon yang diberikan ke dalam kad baharu.
“Pada 24 September lalu, mangsa pergi ke Bank Rakyat di Temerloh dan membuat kad ATM dan nombor PIN baharu dan memasukkan nombor telefon yang diberikan.
“Selepas itu mangsa diarahkan supaya menghantar gambar kad ATM dan buku Tabung Haji yang tertera nombor akaun kepada wanita yang menyamar sebagai ‘Inspektor Mastura’ untuk tujuan siasatan.
“Mangsa mengikut semua arahan dan diberitahu siasatan akan mengambil masa seminggu,” katanya, menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata, semalam, mangsa mendapati RM9,600 wang dalam akaun Bank Rakyat dan RM16,000 dari akaun Tabung Haji miliknya hilang.
Mohd Wazir berkata, wang berkenaan dipindahkan ke akaun milik dua individu.
Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.