Bekas MB Johor stabil selepas dibedah, buang darah beku

Bekas MB Johor stabil selepas dibedah, buang darah beku

Osman Sapian yang juga ADUN Kempas sebelum ini diserang strok ketika berada di rumahnya.

Osman Sapian kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas Menteri Besar Johor Osman Sapian yang sebelum ini dikejarkan ke hospital kerana diserang strok kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan membuang darah beku.

Timbalan Ketua Bersatu Johor, Md Nasir Hashim, berkata keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu memaklumkan kejayaan pembedahan berkenaan, kelmarin.

“Alhamdulillah, pembedahan ke atas Osman dimaklumkan keluarganya, sudah selesai dengan jayanya. Namun pakar yang merawat Osman memaklumkan beliau berada dalam keadaan amat stabil.

“Pemimpin Bersatu masih belum dibenarkan melawat Osman berikutan beliau perlu berehat untuk pemulihan terlebih dahulu,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Rabu lalu, media melaporkan Osman yang juga Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor itu diserang strok ketika berada di rumahnya, dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Osman dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Johor Bahru untuk menerima rawatan.

Anaknya, Nornekman Osman, kemudian memaklumkan bapanya itu akan dipindahkan ke sebuah hospital di ibu negara bagi menjalani pembedahan dan meminta orang ramai mendoakan kesihatan bapanya.

Osman, 70, adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada Bersatu dilantik selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau menjawat jawatan itu selama 11 bulan sebelum melepaskannya pada April 2019.

Osman juga adalah Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor dan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.