
Sejak sekian lama, katanya, kerajaan memberikan subsidi hampir sepenuhnya terhadap ubat-ubatan paling berkesan bagi memastikan rawatan terbaik untuk pesakit kanser.
Katanya, pesakit boleh mendapatkan rawatan baharu menerusi model pembiayaan inovatif, skim akses pesakit dan ujian klinikal yang ditaja pihak industri.
“Mereka yang lebih sihat dan pulih daripada kanser boleh bekerja semula untuk membina semula kehidupan mereka, ekonomi dan negara,” katanya dalam rakaman ucaptama pada persidangan maya “Meningkatkan Akses kepada Rawatan dan Penjagaan Kanser” di sini.
Khairy berkata, pelaburan dan intervensi berkesan dalam pencegahan kanser, diagnosis tepat pada masanya, kemajuan dalam terapi dan model penyampaian rawatan bagi mengurangkan jumlah kematian akibat kanser, meningkatkan jumlah mereka yang pulih dan kualiti kehidupan mereka yang hidup dengan kanser, perlu pertimbangan serius.
Beliau turut mendedahkan kira-kira 49,000 rakyat Malaysia dianggarkan untuk didiagnosis menghidap kanser pada 2020 dan dijangka meningkat kepada lebih 66,000 kes baharu setiap tahun pada 2030.
Beliau menjelaskan kanser kolorektum merupakan kanser kedua paling banyak dikesan pada rakyat Malaysia dan 65% daripadanya didiagnosis lewat, menyebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan ujian darah “immunichemical faecal occult” sebagai sebahagian daripada ujian saringan kanser kolorektum, yang disasarkan kepada mereka berusia 50 hingga 75 tahun.
“Kami mengambil beberapa langkah untuk menggalakkan pengesanan awal menerusi kit ujian kendiri untuk ‘human papilloma virus’ (HPV) kerana ia juga berpotensi untuk wanita dalam mengatasi masalah menjalani saringan, mengesan kanser servikal pada peringkat awal dan membawa pesakit untuk rawatan seawal mungkin.”
Beliau berkata, menggunakan rawatan tradisional atau alternatif sebaik didiagnosis dan tidak terus menggunakan perubatan “allopathic” menyebabkan kelewatan kepada rawatan yang amat ketara.
Mengikut Laporan Pendaftaran Kanser Nasional Malaysia 2012-2016, kanser payudara merupakan kanser utama dalam kalangan rakyat Malaysia.
Persidangan maya anjuran Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Kumpulan Kerja Rawatan Kanser dan ‘M3C Taskforce’ bersama pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor bagi membincangkan kemajuan, jurang dan peluang dalam membantu rawatan kanser di Malaysia.
“Kertas Putih mengenai Cabaran Rawatan Kanser, Jurang dan Peluang di Malaysia’ yang menggariskan tiga bidang utama untuk tindakan dalam mengurangkan impak kanser terhadap rakyat dan lima cadangan pembaharuan kepada dasar untuk penyakit kanser turut dilancarkan hari ini.