Kadar kesuburan negara terendah dalam 4 dekad

Kadar kesuburan negara terendah dalam 4 dekad

Ketua Perangkawan berkata, Malaysia akan mencapai status negara menua lebih awal daripada jangkaan.

Jumlah kelahiran hidup adalah 470,195 pada 2020, terendah dalam sedekad dan 3.6% lebih rendah daripada 487,957 kelahiran yang dicatatkan pada 2019. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kadar kesuburan negara pada tahun lalu adalah yang terendah dalam empat dekad, kata Jabatan Perangkaan yang turut memberi amaran bahawa Malaysia akan mencapai status negara tua lebih awal daripada jangkaan.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata, kadar kesuburan keseluruhan (TFR) di Malaysia turun kepada 1.7 anak pada 2020 berbanding 1.8 anak pada 2019.

Katanya, purata 17.2 orang dilahirkan bagi setiap 1,000 penduduk dan 4.6 orang mati dalam tempoh 10 tahun lalu, dengan nisbah 3.7 kelahiran bagi setiap kematian.

“Penurunan nisbah ini memberi impak kepada struktur penduduk Malaysia.

“Ini akan menyebabkan Malaysia beralih kepada status negara menua lebih awal berbanding unjuran sebelum ini,” katanya sambil menambah sasaran semasa untuk negara mencapai negara penduduk tua (apabila 15% populasi berusia 60 tahun dan ke atas) menjelang 2030.

Uzir berkata, jumlah kelahiran hidup adalah 470,195 pada tahun lalu, terendah dalam sedekad, dan jumlah itu juga menurun 3.6% berbanding 487,957 kelahiran yang dicatatkan pada 2019.

Beliau mendapati dari 2010 hingga 2020, TFR untuk kumpulan etnik utama di Malaysia menunjukkan trend penurunan.

“TFR bagi Bumiputera menurun daripada 2.6 anak kepada 2.2 anak, Cina (1.5 anak kepada 1.0 anak) dan India (1.7 anak kepada 1.2 anak) pada 2020.

“TFR bagi etnik Cina dan India di bawah paras penggantian masing-masing bermula 2003 dan 2005.”

Katanya, sebanyak 166,507 kematian direkodkan pada tahun lalu, menurun 4.2% berbanding 173,746 kematian pada 2019. Kematian lelaki lebih tinggi berbanding wanita dengan masing-masing ialah 96,322 dan 70,185 kematian.

Data awalan kematian dari Januari hingga Ogos tahun ini berjumlah 132,812 kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.