
Menerusi carian sistem mahkamah, permohonan itu difailkan LHDN bagi pihak kerajaan selaku plaintif pada 28 Sept lepas, atas alasan antaranya tuntutan balas tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
LHDN mendakwa tuntutan balas itu bertujuan mempertikaikan taksiran yang dibangkitkan secara berasas, sah dan teratur berdasarkan Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Sebarang pertikaian berhubung taksiran cukai, sama ada ia adalah tidak betul, berlebihan atau tidak sah harus didengar di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP),” menurut LHDN dalam permohonan itu.
Penolong Pengarah di Unit Kawalan LHDN Cawangan Guaman Kuala Lumpur menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu mendakwa Shafee cuba menyalahgunakan proses mahkamah dengan membatalkan Notis Taksiran Tambahan yang dikenakan terhadapnya melalui tuntutan balas, sedangkan beliau telah merayu kepada PKCP yang belum mendengar dan memutuskan rayuan tersebut.
Shafee, yang memfailkan tuntutan balas pada 11 Ogos lepas, mendakwa taksiran cukai yang dikenakan terhadapnya tidak tepat dan menyalahi undang-undang, selain mendakwa ia sebagai usaha menghalangnya daripada terus mewakili Najib Razak dalam kes jenayah bekas Perdana Menteri itu.
Pada 27 Sept lepas, LHDN memohon kes saman terhadap Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan, antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atasnya berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh ditetapkan.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan, tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
LHDN memfailkan saman itu pada 6 Mei lepas mendakwa Shafee sehingga kini masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang terhutang bagi Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016, termasuk kenaikan yang dikenakan.
Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata tidak betul kepada LHDN.
Wee Yeong Kang yang mewakili Shafee ketika dihubungi berkata, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 5 Nov ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Syeela Marlina Uttaman.