
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran memberitahu Mahkamah Tinggi, memberi wang kepada kelab profesional seperti Persatuan Bola Sepak PDRM tidak termasuk dalam objektif Yayasan Akalbudi untuk membasmi kemiskinan.
Mahkamah diberitahu wang RM1.3 juta itu yang dibayar kepada pasukan polis bertujuan membayar gaji tertunggak pemain selama empat bulan.
“Ini ialah kelab bola sepak, bukannya ‘soup kitchen’ atau bank makanan dikendalikan NGO. Kelab itu milik polis dan mereka mengambil pemain profesional. Hujah pendakwaan ialah kekurangan wang itu tidak menjadikan seseorang itu miskin,” katanya dalam hujah penutupnya.
Zahid sedang dibicarakan atas 47 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.
Dua belas daripada tuduhan itu membabitkan pecah amanah, lapan untuk rasuah dan baki 27 dakwaan bagi pengubahan wang.
Rozela turut membandingkan pemain bola sepak dan penjawat awam lain.
“Saya tidak membesar-besarkan cerita. Jika kita mengikut analogi pembelaan yang wang itu bertujuan meringankan masalah kewangan kelab, separuh daripada kita (pegawai undang-undang) di sini (dalam mahkamah) layak digelar ‘miskin’ seminggu sebelum kita menerima gaji kita,” katanya merujuk hujah Zahid yang pemain itu berhak menerima “sumbangan” kerana mereka tidak dibayar gaji selama berbulan-bulan.
Pihak pendakwaan menegaskan RM1.3 juta kepada Persatuan Bola Sepak PDRM, RM360,000 dibayar kepada TS Consultancy & Resources bagi tujuan pendaftaran pengundi serta “pelaburan” RM10 juta dalam Armada Holdings Sdn Bhd, tidak sejajar matlamat Yayasan Akalbudi.
“Ini bukannya amal jariah,” kata Rozela.
Beliau berkata, TS Consultancy & Resources didaftarkan pada Februari 2015 sebagai syarikat yang menyediakan kursus motivasi kepada orang ramai. Ia ditutup pada Mei 2017.
“Hakikatnya, syarikat ini ialah sayap politik Barisan Nasional untuk membantu gabungan itu mendaftarkan pengundi di kawasan tertentu.
“Untuk Armada Holdings, Wasi Khan – yang merupakan Pengarah Armada Holdings – menyatakan RM10 juta diberikan tertuduh (Zahid), selepas beliau meminta wang itu untuk menyertai bidaan bagi satu kontrak di Indonesia.”
Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah diteruskan.