Isu Kompleks Petronas Khartoum: Sudan perlu hormat Konvensyen Vienna, kata Wisma Putra

Isu Kompleks Petronas Khartoum: Sudan perlu hormat Konvensyen Vienna, kata Wisma Putra

Kompleks itu juga menempatkan Kedutaan Besar Malaysia di Sudan.

Pada 7 Oktober, Petronas menegaskan hak milik tanah yang turut menempatkan Kompleks Petronas di Khartoum diperoleh secara sah mengikut undang-undang ditetapkan.
PETALING JAYA:
Wisma Putra memanggil Kuasa Usaha Sudan di Kuala Lumpur buat kali kedua pagi tadi, bagi menyampaikan kebimbangan negara ini berhubung isu Kompleks Petronas di Khartoum.

Dalam kenyataan, Kementerian Luar menggesa kerajaan Sudan menghormati Perjanjian Promosi dan Perlindungan Pelaburan Dua Hala, yang berkuatkuasa antara Malaysia dan negara itu.

“Selain itu, memandangkan kompleks tersebut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia, kerajaan Sudan juga digesa menghormati status Kedutaan Besar kita sebagai sebuah entiti diplomatik, sebagaimana yang termaktub dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

“Walaupun proses timbang tara yang diaktifkan oleh Petronas telah bermula, kementerian berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat, demi memelihara hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dan Sudan,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, pihak kementerian juga ingin memaklumkan bahawa semua rakyat Malaysia bermastautin di Sudan serta berdaftar dengan Kedutaan Besar negara ini, berada dalam keadaan selamat.

Pada 7 Oktober, Petronas menegaskan hak milik tanah yang turut menempatkan Kompleks Petronas di Khartoum diperoleh secara sah mengikut undang-undang ditetapkan.

Menurut laporan Bernama, kerajaan peralihan Sudan berhasrat merampas tanah tersebut, dengan syarikat minyak dan gas negara itu kemudian bekerjasama dengan Kementerian Luar bagi menggunakan semua saluran diplomatik dengan pihak berkuasa Sudan dalam meleraikan isu berkaitan.

Menurut laporan Daily Sabah pada 5 Oktober, kerajaan peralihan Sudan berhasrat merampas aset milik Petronas yang didakwa diperoleh secara tidak sah ketika pemerintahan bekas pemimpin Omar al-Bashir.

Susulan penggulingan al-Bashir, kerajaan peralihan itu bertindak meluluskan undang-undang serta membentuk Jawatankuasa Pemerkasaan Penyingkiran, Anti-Rasuah dan Pengambilan Semula Wang yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti semula perjanjian serta mendapatkan semula aset yang didakwa diperoleh secara tidak sah bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.