
Hakim Roslan Abu Bakar ketika mengarahkan kes itu dikembalikan kepada mahkamah rendah untuk penghakiman ingkar, turut memerintahkan bayaran kos RM5,000 diberikan kepada Norshafiqah Saadi, 26.
Kini, Mahkamah Sesyen akan menilai jumlah ganti rugi yang bakal diberikan kepada Norshafiqah.
Roslan berkata, MPKB sepatutnya mematuhi Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.
“Keadilan bukan hanya untuk pihak terbabit dalam kes, tetapi juga bagi undang-undang,” katanya ketika membenarkan rayuan Norshafiqah.
Beliau berkata, MPKB tidak memberikan alasan munasabah kenapa ia memfailkan memorandum kehadiran selepas tamat tempoh 14 hari.
Roslan dalam penghakimannya berkata, MPKB sepatutnya memfailkan memorandum kehadiran terlebih dulu dan melantik peguam selepas itu.
Pada 28 Feb 2018, ketika berjalan di bandar itu, Norshafiqah terjatuh ke dalam longkang yang tiada penutup, sekali gus menyebabkan dirinya cedera dan hilang sebahagian barang miliknya.
Wanita berkenaan memfailkan writ serta pernyataan tuntutan terhadap MPKB, dan menghantar sendiri dokumen terbabit kepada kerani di pejabat MPKB pada 23 Sept tahun lalu.
MPKB kemudian memfailkan lanjutan masa pada 26 Okt 2020.
Bagaimanapun, Norshafiqah memfailkan penilaian ganti rugi dan Mahkamah Sesyen menetapkan pendengaran kes pada 8 Dis tahun lalu.
Peguam Norul Azmatun Mohd Arshad yang mewakili Norshafiqah berhujah, MPKB sebagai organisasi besar dan mempunyai Jabatan Undang-undang sepatutnya tidak lewat memfailkan memorandum kehadiran.
Peguam Aaron Abraham yang mewakili pihak berkuasa tempatan itu dalam hujahan balas berkata, penangguhan itu susulan saman terbabit perlu dirujuk kepada presiden atau setiausaha MPKB dan jabatan berkaitan.
Katanya, kelulusan meneruskan saman itu diberikan pada 18 Okt dan peguam hanya dilantik selepas itu.
MPKB berkata, ia tidak beroperasi dengan kapasiti penuh ketika itu kerana pandemik Covid-19.