
Beliau berkata, walaupun lebih cenderung dengan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), Maria berharap kerajaan akan mengukuhkan RUU IPCC dengan “menutup semua lompong yang menghalang siasatan serta tindakan oleh ahli suruhanjaya IPCC”.
Maria berkata, IPCC akan mengehadkan kuasa pesuruhjaya dalam mendapat akses dokumen penting berhubung siasatan salah laku polis dan kematian dalam tahanan.
“Ada keadaan di mana bukti boleh diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972. Dalam keadaan itu, ahli Suruhanjaya IPCC tiada kuasa untuk mengakses dokumen di bawah OSA.
“Justeru, suruhanjaya tidak akan mempunyai kuasa untuk membawa kes lebih lanjut,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto, mengkritik RUU IPCC yang disifatkan “lemah, tidak bertaring dan kurang punca kuasa berbanding Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)”.
Kasthuri berkata, RUU IPCC mempunyai banyak kelompongan yang boleh menjejaskan siasatan terhadap salah laku polis dan kematian dalam tahanan. Katanya, RUU berkenaan melucutkan kuasa Parlimen untuk memantau hal ehwal suruhanjaya.
Beliau turut memberi contoh perbezaan ketara antara IPCMC dan IPCC. Menurutnya, mengikut peruntukan IPCMC, sekiranya berlaku kes penderaan tahanan lokap oleh polis, suruhanjaya itu boleh membuat pemeriksaan mengejut di balai berkenaan.
“Bagaimanapun, mengikut IPCC, mereka perlu memohon kebenaran untuk melaksanakan pemeriksaan mengejut. Ini langsung menjejaskan siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, IPCMC bagi tempoh panjang, diyakini memanfaatkan polis.
“Kita sudah menyaksikan banyak kes kematian dalam tahanan. Tidakkah polis mahu melihat ini berakhir?”
Walaupun mengakui kurang berpuas hati terutama menjurus kepada soal kebertanggungjawaban polis, beliau menganggap kerajaan perlu melihat kepada kebajikan polis. Ini katanya akan membuatkan anggota badan keselamatan itu lebih terbuka menerima pengawasan bebas.
“Kebajikan dan keperluan anggota polis, termasuk integriti, kebertanggungjawaban dan tanggungjawab dalam pasukan polis diberikan keutamaan,” katanya.
RUU IPCC diperkenalkan pada 2020 bagi menggantikan RUU IPCMC, yang sudah dibentangkan di Parlimen oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), pada 2019. Keputusan menggantikan RUU IPCMC dipersetujui Kabinet selepas perubahan kerajaan memerintah pada Mac 2020.
Terdahulu, lapan badan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada Ahli Parlimen di Parlimen, mendesak menolak IPCC.