Perbahasan ungkai Ordinan Darurat tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Perbahasan ungkai Ordinan Darurat tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mencadangkan perkara itu dan antara ordinan terlibat ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berakhir hari ini setelah 17 hari bersidang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hari terakhir Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini dijadual membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan darurat.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Perdana Menteri akan mencadangkan perkara itu dan antara ordinan terlibat ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Sementara itu, sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada permulaan persidangan Dewan Rakyat akan menyentuh isu berkaitan pakatan keselamatan tiga negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia (AUKUS) serta status dan hak jika penjawat awam tidak mahu mengambil vaksin.

Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) akan bertanya mengenai pendirian terkini kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan berkaitan AUKUS manakala Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri sama ada kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam yang tidak mahu mengambil vaksin.

Selain itu, soal persempadanan semula atau menambah kawasan pilihan raya akan dibangkitkan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Perdana Menteri.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berakhir hari ini setelah 17 hari bersidang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.