
Ditubuhkan awal tahun ini dan dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan, DNB ditugaskan untuk membangunkan infrastruktur 5G di negara ini dan menguruskan spektrum 5G.
Ketua Pemuda Pejuang, Abu Hafiz Salleh Hudin bersama Biro Perbendaharaan dan Komunikasi parti itu berkata, model operasinya berbeza dengan apa yang dilaksanakan bagi rangkaian 3G dan 4G, dengan syarikat telekomunikasi menanggung kos infrastruktur serta kos penggunaan spektrum dibayar kepada kerajaan.
Tanpa jualan dengan terma komersial untuk rangkaian spektrum 5G katanya, kerajaan dijangka hilang potensi meraih keuntungan RM5 bilion yang dibuka untuk pembelian oleh syarikat telekomunikasi sedia ada.
“Sebaliknya dengan penubuhan DNB, kerajaan terpaksa membelanjakan RM15 bilion dengan cara berhutang atau penerbitan bon yang dijamin kerajaan.
“Oleh kerana DNB ini milik penuh Kementerian Kewangan, maka yang terpaksa membayar hutang ini adalah rakyat Malaysia jika pengurusan kewangan dan operasi DNB gagal diurus dengan baik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hampir RM180 juta wang rakyat telah disuntik ke dalam DNB setakat ini dan dianggarkan RM300 juta lagi akan disalurkan dalam masa terdekat.
Disebabkan DNB adalah milik penuh kerajaan katanya, ia bakal mengakibatkan risiko kerugian nilai kepada syarikat telekomunikasi tempatan sedia ada yang memiliki infrastruktur dan spektrum sebagai antara aset utama mereka.
Ia seterusnya akan memberi impak kepada institusi negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji yang memiliki sejumlah besar saham dalam syarikat telekomunikasi itu.
“Apakah wajar menubuhkan sebuah lagi syarikat baharu dalam industri sama dengan dana dari pasaran modal yang dijamin kerajaan? Bukankah ia hampir menyamai modus operandi 1MDB dahulu sehingga merugikan kerajaan dan rakyat Malaysia?
“Kebimbangan ini bertambah apabila Fitch menurunkan kadar penarafan sektor telekomunikasi Malaysia pasca pengumuman perancangan 5G dengan menggariskan beberapa isu seperti ‘kurang ketelusan’ dan ‘kurang penglibatan sektor swasta’.”