
Menurut kerajaan, lebih 90% populasi dewasa di negara ini kini lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 dan ini membolehkan perjalanan merentas sempadan negeri dan negara dibenarkan semula mulai semalam.
Pengarah Eksekutif Project Libera8 New Su Shern, yang menjalankan program khidmat masyarakat vaksinasi buat pekerja asing, berkata: “Kita mungkin tidak mencapai separuh pun daripada sasaran itu apabila membabitkan pekerja asing.
“Jauh lagi perjalanan kita dan keadaan akan menjadi lebih sukar.”
Pada Jun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kira-kira 400,000 warga asing, yang terdiri daripada pekerja asing dan ekspatriat, mendaftar melalui MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19. Ini adalah 16% daripada anggaran 2.5 juta warga asing yang mempunyai dokumen.
Menurut data tidak rasmi, mungkin terdapat hingga empat juta pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen di negara ini.
Ramai aktivis mengkritik Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana dikatakan mengambil pendekatan keras terhadap komuniti ini, dengan menterinya, Hamzah Zainudin pada Jun berkata, kerajaan akan “mengumpulkan” warga asing tanpa dokumen untuk membantu mereka mendapatkan vaksin.
Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa ia tidak akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang ingin mendapatkan vaksin, tanpa mengira status imigresen.
Baru-baru ini, Khairy juga berkata, negara akan membuat persiapan untuk memasuki fasa endemik Covid-19.
Kerajaan turut menekankan penilaian kendiri dan mencari rawatan dengan mengamalkan pendekatan TRIIS (menguji, melaporkan, mengasingkan, memaklumkan, mencari).
Bercakap mengenai masalah yang berpotensi timbul dengan pendekatan TRIIS, New berkata, penting untuk memastikan pelbagai komuniti diperkasakan dengan maklumat dan akses kepada rawatan yang diperlukan untuk hidup bersama Covid-19.
Katanya, perubahan prosedur operasi standard (SOP), bahkan perkembangan berkaitan Covid-19 di negara ini tidak disampaikan dalam bahasa yang dapat difahami pekerja asing.
“Bahkan mereka tidak dapat faham apa yang sedang terjadi ketika ini. Kita perlu fikir cara untuk menyampaikan mesej itu dalam pelbagai bahasa, kaedah dan platform yang berbeza,” katanya.
Mengenai ujian kendiri, beliau berkata, pekerja asing tidak dapat akses kepada maklumat mengenainya, malah kit ujian itu sendiri.
“Kemampuan dan ketercapaian adalah sesuatu yang akan menjadi masalah. Cukup sukar bagi komuniti pekerja asing untuk mengakses maklumat mengenai penggunaannya,” katanya.
“Arahan (penggunaan kit) bukan dalam bahasa yang mereka fahami sepenuhnya. Ramai juga yang tidak tahu menggunakan fungsi dalam aplikasi MySejahtera.”
Katanya, harga siling RM19.90 bagi kit ujian kendiri dianggap tidak mampu milik bagi rata-rata pekerja asing.
Selain itu, mereka yang dikesan positif dijangkiti virus juga mungkin memilih untuk tidak mendapatkan rawatan disebabkan kos yang tinggi bagi warga asing, terutamanya untuk perkhidmatan di Unit Rawatan Rapi (ICU)
Sementara itu, aktivis Adrian Pereira daripada North-South Initiative mempersoalkan kadar vaksinasi 90% populasi dewasa, dengan berkata, kerajaan belum sepenuhnya mengendalikan vaksinasi bagi “populasi tersembunyi” pekerja asing tanpa dokumen.
“KKM harus menyatakan berapa banyak peratusan populasi yang lengkap vaksinasi terdiri daripada bukan rakyat Malaysia. Dari sana, kita akan dapat ukur berapa ramai pekerja asing yang belum mendapat vaksin,” katanya.