Kerajaan Sarawak lulus belanjawan negeri 2022 RM10 bilion

Kerajaan Sarawak lulus belanjawan negeri 2022 RM10 bilion

Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg berkata, Belanjawan Sarawak 2022 dijangka mengalami defisit RM610 juta.

Abang Johari Openg membentangkan Belanjawan Sarawak 2022 dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg mengumumkan belanjawan berjumlah RM10.136 bilion bagi 2022 berikutan kerajaan negeri akan memberi tumpuan membantu rakyat menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Menurutnya, Belanjawan Sarawak 2022 dirumus berlatarbelakangkan prestasi ekonomi global dan domestik serta ramalan pertumbuhannya pada tahun depan.

“Dengan anggaran hasil RM10.036 bilion dan jangkaan perbelanjaan biasa sebanyak RM10.646 bilion, Belanjawan Negeri 2022 dijangka mengalami defisit RM610 juta.

“Penting pada masa ini mengambil kira impak buruk pandemik Covid-19 kepada ekonomi negeri dan sumber pendapatan rakyat, kerajaan negeri harus memulakan dasar pengembangan fiskal untuk merangsang produktiviti dan menghidupkan semula ekonomi,” katanya selepas mesyuarat khas mengenai Belanjawan Sarawak 2022.

Abang Johari berkata, selaras kuasa yang diberikan kepada Ketua Menteri Sarawak atau Pihak Berkuasa Kewangan Negeri mengikut Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, beliau meluluskan Belanjawan Sarawak 2022 dengan persetujuan Majlis Kerajaan Negeri pada 11 Okt.

Sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Mohd Asfia Awang Nassar berkata, keperluan untuk belanjawan negeri mendapatkan kelulusan DUN Sarawak tidak penting seperti dijelaskan dalam Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi negeri berkata, antara strategi teras dalam belanjawan ini ialah Skim Bantuan Deposit Perumahan sehingga RM10,000 untuk membantu golongan B40 dan M40 membuat pembayaran deposit pemilikan rumah.

“Belanjawan Sarawak 2020 akan membantu rakyat menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 di mana RM285.47 juta akan diperuntukkan, antaranya melibatkan potongan bil elektrik serta pemberian RM500 secara sekali beri kepada pengusaha bot penambang, pemandu teksi serta pemandu bas dan van sekolah.”

Katanya, penjawat awam Sarawak akan diberikan bonus sebulan setengah gaji bagi menghargai khidmat mereka dalam menguruskan jentera kerajaan, khususnya dalam situasi getir Covid-19.

“Bantuan khas kewangan untuk penjawat awam persekutuan juga tidak dilupakan yang akan turut menerima bonus RM500 sebagai penghargaan kerajaan Sarawak terhadap sumbangan mereka dalam memakmurkan negeri ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.