Tangani segera perubahan iklim, kata PM

Tangani segera perubahan iklim, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata impak pemanasan global berlaku disebabkan peningkatan pelepasan gas rumah kaca hasil aktiviti manusia.

Ismail Sabri Yaakob mahu negara terus komited dan progresif dalam menangani isu perubahan iklim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan menggesa isu perubahan iklim ditangani segera kerana bimbang mendatangkan kesan kepada sistem iklim global yang boleh menyebabkan cuaca lebih ekstrem.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata impak pemanasan global berlaku disebabkan peningkatan pelepasan gas rumah kaca (GHG) hasil aktiviti manusia.

Beliau berkata, pemanasan global juga akan memberi impak kepada pembangunan sosio-ekonomi negara sekiranya tidak ditangani secara bersama pada kadar segera.

“Justeru, adalah penting untuk negara terus komited dan progresif dalam menangani isu perubahan iklim ini. Saya ingin tegaskan bahawa perubahan iklim dan teknologi hijau merupakan keutamaan negara di bawah pentadbiran kerajaan pada masa sekarang.

“Komitmen ini terkandung di dalam Tema Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu Melonjakkan Kemampanan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) yang turut disertai Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan pakar sebagai ahli jemputan.

Antara intipati perbincangan dan keputusan mesyuarat itu ialah pengemaskinian Nationally Determined Contributions (NDC) yang lebih “ambitious” kepada UNFCCC COP-26, aspirasi negara untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar seawal-awalnya pada 2050 dan pelaksanaan Skim Perdagangan Karbon Domestik (DETS) oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia Berhad.

Selain itu, meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu, sasaran perolehan 100% kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) menjelang 2030 dan mengambil kira faktor perubahan iklim dalam reka bentuk kejuruteraan sistem infrastruktur berkaitan air, bagi memastikan pengurusan air secara lestari dan menggalakkan pihak swasta menjadikan aspirasi pelepasan GHG bersih sifar

Ismail berkata, dalam hal itu juga, ASEAN wajar dimanfaatkan sebagai satu kumpulan rundingan bagi menyuarakan pendirian bersama negara di rantau ini.

“Memandangkan isu perubahan iklim ini merentas sektor, dan kini dikaitkan juga dengan isu perdagangan antarabangsa, adalah penting untuk KASA terus menerajui agenda tersebut.

“Justeru, kerajaan wajar memperkukuhkan tadbir urus perubahan iklim negara, antaranya melalui penubuhan Pusat GHG Kebangsaan bawah KASA,” katanya.

Beliau berkata, ia penting bagi meningkatkan ketelusan pelaporan maklumat perubahan iklim negara dan data perubahan iklim yang diuruskan oleh pusat tersebut, supaya dapat meningkatkan keyakinan pelaburan rendah karbon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.