Polis serbu stor proses ketum, ‘perusahaan khayal’ 11 tahun gulung tikar

Polis serbu stor proses ketum, ‘perusahaan khayal’ 11 tahun gulung tikar

Lelaki berusia 45 tahun membekalkan air ketum di sekitar Kota Setar, Jitra, Sungai Petani, Yan, Baling, Kulim dan Ipoh.

Ketua Polis Kedah, Kamarul Zaman Mamat, berkata lelaki berkenaan memperoleh daun ketum di kebun miliknya, selain membeli bekalan ketum pada harga RM10 sekilogram. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
“Perusahaan khayal” seorang lelaki yang memperoleh pendapatan sekitar RM50,000 sebulan gulung tikar selepas stor memproses dan menjual air ketum untuk pasaran Kedah dan Perak, diserbu polis hari ini.

Difahamkan, suspek mampu menghasilkan 5,000 bungkus air ketum sehari yang dijual RM3 sebungkus.

Lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai sudah 11 tahun melakukan kegiatan itu di stor yang dibina khas bersebelahan rumahnya di Tebengau, Alor Setar, Kedah dan pernah ditahan atas kesalahan sama sebelum ini.

Air ketum dijualnya itu turut dicampur minuman berkarbonat serta ubat batuk yang dipanggil “cakoroi”, dan dikatakan lebih mengkhayalkan berbanding biasa.

Lelaki itu dikatakan turut memasang hampir 10 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan rumah, stor dan kedai makan miliknya itu untuk memantau pergerakan pihak berkuasa, menurut laporan Harian Metro.

Bagaimanapun, “port” memproses ketum itu diserbu polis sekali lagi pada 11.10 pagi hari ini, berdasarkan maklumat dan risikan diterima polis.

Ketua Polis Kedah, Kamarul Zaman Mamat, berkata serbuan dilakukan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Unit Risik Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kedah.

Beliau berkata, hasil maklumat diperoleh mendapati pemilik stor itu dipercayai memproses air ketum dua kali sehari di stor berkenaan malah turut menghantar bekalan di sekitar daerah Kota Setar, Jitra, Sungai Petani, Yan, Baling, Kulim dan Ipoh di Perak.

“Pemeriksaan mendapati, lelaki itu dipercayai melakukan kegiatan berkenaan sudah lama iaitu hampir 11 tahun dan mampu mengaut keuntungan yang banyak.

“Polis merampas 1,348 bungkusan air ketum, 100kg daun ketum dan 170 botol ubat batuk serta segala peralatan digunakan untuk memasak daun ketum berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, suspek memperoleh daun ketum di kebun miliknya selain membeli melalui penduduk kampung dengan harga RM10 sekilogram.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.