
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, usul oleh Perdana Menteri itu dijadualkan untuk persidangan Dewan Rakyat, esok.
Ismail akan mencadangkan Ahli-ahli Parlimen membahaskan dan membuat resolusi untuk membatalkan tujuh ordinan berkenaan, yang telah memberi kuasa kepada kerajaan untuk mentadbir negara dalam keadaan darurat.
Tujuh ordinan itu antara lain berkaitan dengan kawalan dan pencegahan penyakit; standard minimum penginapan pekerja; serta berkaitan penggunaan Kumpulan Wang Amanah Negara.
Terdahulu bulan ini, Menteri Undang-undang Wan Junaidi Jaafar berkata, ordinan-ordinan darurat berkuat kuasa sehingga Februari depan kerana tidak dimansuhkan Parlimen.
Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang, beliau berkata ordinan berkenaan masih berkuat kuasa sehingga dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong selagi darurat berlangsung, atau sehingga dibatalkan menerusi resolusi yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Di bawah Perlembagaan, ordinan darurat tidak lagi berkuat kuasa enam bulan selepas Darurat luput.