
Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar berkata, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan individu yang menderitai masalah kesihatan mental dapat dibantu.
Katanya, walaupun Malaysia sudah memperkasakan hak kesihatan mental, pesakit mental kekal berdepan stigma dan diskriminasi berleluasa dan MIASA berhempas pulas untuk menanganinya.
Beliau berkata, meskipun sebahagian doktor dan profesional kesihatan mental berpendapat wujud keperluan untuk menempatkan pesakit mental di institusi kesihatan berkaitan, MIASA menumpukan usaha perkongsian maklumat agar keputusan tepat dapat diputuskan.
“Menginstitusikan (pesakit) menjadi perkara yang tidak dapat dibincangkan secara terbuka. Sekali anda menempatkan seseorang dalam institusi, ia seperti satu bentuk paksaan,” katanya.
MIASA yang meraikan ulang tahun keempat penubuhannya, turut melancarkan talian bantuan 24/7 dengan kerjasama Yayasan Sime Darby dan Maxis, bertujuan melebarkan perkhidmatan berkenaan kepada lebih ramai orang.
“Kami ada di sini untuk membantu meringankan beban dalam sistem kesihatan mental.
“Hari ini, kami mempunyai 100 sukarelawan bagi membantu krisis ini dan kami mensasarkan bantuan 150 sukarelawan menjelang Disember ini,” katanya.
Beliau berkata, MIASA akan memperkenalkan pelbagai saluran seperti terapi muzik bagi membantu individu berdepan masalah itu.
Persatuan juga merancang melancarkan aplikasi bergerak tahun depan sebagai usaha mengekang peningkatan isu berkaitan kesihatan mental di seluruh negara.
“Kami akan memasukkan ciri-ciri yang membantu golongan kurang upaya mendapat akses kepada aplikasi berkenaan. Ia merangkumi ciri pengenalan suara dan butang panik,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Yatela Zainal Abidin berkata, yayasan terbabit akan mendanai program latihan sukarelawan, termasuk memberi elaun kepada mereka yang membantu talian bantuan MIASA.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menerima lebih 160,000 panggilan membabitkan isu kesihatan mental antara Januari hingga September tahun ini, iaitu empat kali ganda lebih tinggi panggilan berbanding tahun lalu.
“Kesihatan mental yang buruk berisiko menjejaskan kesihatan fizikal dan menyumbang kepada tingkah laku berbahaya,” katanya.
Individu yang berdepan kesukaran mendepani masalah mental dialu-alukan menghubungi talian bantuan 1 800 820 066.