‘Kesan tak dijangka, tak diingini’ sekiranya laksana pengecualian bayaran faedah, kata ahli ekonomi

‘Kesan tak dijangka, tak diingini’ sekiranya laksana pengecualian bayaran faedah, kata ahli ekonomi

Beberapa pihak berpendapat penangguhan bayaran faedah akan membebankan peminjam dengan kos lebih tinggi sejurus pembayaran semula bermula.

Pakar ekonomi berkata, penyelesaian yang dirancang untuk memberi faedah kepada bank dan pelanggan mereka akan membantu isi rumah tanpa menjejaskan kestabilan kewangan negara. (Gambar Maybank)
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi mengingatkan supaya tiada campur tangan dengan melaksanakan pengecualian bayaran faedah yang dikenakan ketika moratorium pinjaman kerana ia memberi tekanan yang tidak wajar kepada pasaran yang sudah pun mengalami keadaan “rapuh”.

Isu ini telah diteliti dengan beberapa pihak berpendapat penangguhan – bukan pengecualian – bayaran faedah akan membebankan peminjam dengan kos lebih tinggi pada masa akan datang sejurus pembayaran semula bermula.

Namun Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME) Carmelo Ferlito berkata, dasar yang umum itu boleh menyebabkan “kesan yang tidak dapat dijangka dan tidak diingini”.

Beliau mempersoalkan adakah terdapat cara yang lebih baik boleh dilakukan tanpa menjejaskan kestabilan kewangan negara untuk jangka masa panjang jika rasionalnya adalah untuk membantu mereka yang terkesan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sepanjang pandemik Covid-19.

Carmelo Ferlito.

“Saya percaya ada dan ini akan membuatkan pihak bank membantu pelanggan mereka dalam menyusun semula kedudukan hutang. Penyelesaian ‘ad hoc’ bank bersama pelanggan untuk kepentingan bersama akan menjadi pendekatan yang dapat membantu isi rumah yang berdepan masalah tanpa menjejaskan kestabilan kewangan negara kita,” katanya.

Katanya, walaupun seringkali ramai yang menggambarkan bank sebagai “jerung”, ia memainkan peranan penting dalam melindungi simpanan pelanggan dan menyediakan sumber untuk individu serta syarikat melabur dengan memberikan pinjaman dan instrumen kewangan lain.

“Risiko yang saya lihat dalam jangka masa pendek ialah berkurangnya ketersediaan pemberian pinjaman, baik untuk isi rumah dan perniagaan. Maksudnya lebih sedikit peluang untuk keluarga bukan hanya dari segi pelaburan mereka tetapi juga dari segi peluang pekerjaan berikutan pertumbuhan yang rendah.

“Jangka masa panjang, dalam senario paling ekstrem, anda akhirnya menyebabkan bank gagal dan ini mempengaruhi simpanan semua pendepositnya,” katanya.

Beliau berkata, ketika ekonomi negara mulai pulih, penting untuk tidak mengganggu sistem perbankan yang berada di laluan pemulihannya sendiri.

Mengenai pengecualian faedah akan benar-benar membantu peminjam berpendapatan rendah, memberikan pinjaman dan faedah terakru mereka akan lebih kecil, Carmelo berkata pengecualian tidak akan memenuhi sasarannya kerana ia hanya berkisar tentang jumlah yang sangat kecil.

“Oleh itu, pendekatan dengan kita sasarkan untuk menyusun semula hutang daripada mengecualikan faedah, dapat memastikan keseimbangan yang lebih baik antara kestabilan kewangan isi rumah dan negara,” tambah beliau.

Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, faedah yang dikutip daripada pinjaman mewakili sekitar 80% daripada jumlah pendapatan bank dan untuk menghapusnya ketika moratorium akan mempengaruhi kecairan bank.

Nor Shamsiah berkata, kesan terhadap kecairan sistem perbankan akan memaksa bank mengurangkan pinjaman bagi mengekalkan simpanan tunai mereka sendiri yang terhasil ketika keadaan ekonomi stabil untuk melindunginya daripada ketidaktentuan ekonomi.

“Keyakinan terhadap bank akan terjejas, yang dapat memacu tekanan kecairan. Penyimpan mungkin bimbang mengenai keselamatan simpanan mereka dan tindakan ini juga akan membahayakan kepentingan pendeposit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.