Mahkamah halang bank tutup akaun syarikat perkapalan sementara

Mahkamah halang bank tutup akaun syarikat perkapalan sementara

Mahkamah Tinggi beri injunksi sementara kepada Maritime Network Sdn Bhd bagi menghalang RHB menutup dua akaunnya sehingga kes didengar sepenuhnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 14 Nov ini untuk pengurusan kes permohonan Maritime Network Sdn Bhd menghalang bank menutup akaunnya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi sementara bagi menghalang RHB Bank Berhad daripada menutup dua akaun milik sebuah syarikat perkapalan, sementara menunggu pendengaran penuh permohonan injunksi itu.

Peguam P Taneswaran yang mewakili Maritime Network Sdn Bhd, berkata perintah itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman Eddie Yeo Soon Chye selepas prosiding dijalankan di kamar hakim.

Permohonan itu difailkan pengarah syarikat berkenaan R Jeyenderan Rabu lalu melalui firma guaman Tetuan Tanes, Khoo & Paulraj.

Pendengarannya dibuat hari ni selepas syarikat berkenaan memfailkan sijil keperluan segera semalam supaya kes itu didengar tanpa penangguhan.

Menurut Taneswaran, prosiding hari ini diadakan sebelah pihak sahaja kerana pihak bank belum lagi diserahkan dokumen saman.

“Mahkamah menetapkan 14 Nov depan untuk pengurusan kes,” katanya.

Menurut sijil keperluan segera bertarikh 16 Okt, Maritime Network telah membuka dua akaun dengan RHB sejak 23 Sept 2005 – satu akaun pelbagai mata wang dan satu akaun semasa.

Bagaimanapun, pada 6 Okt lalu, syarikat itu menerima notis penamatan bertarikh 1 Okt yang memaklumkan bank berhasrat menutup kedua-dua akaun serta menamatkan semua perkhidmatan dalam tempoh 14 hari.

Bank didakwa berbuat demikian atas alasan berlaku pelanggaran dasar dan garis panduan dalaman.

Namun, ia tidak menjelaskan dasar atau garis panduan mana yang dikatakan dilanggar.

Syarikat itu turut memaklumkan terdapat pertikaian berterusan antara kedua-dua pihak berkaitan akaun berkenaan, yang sebelum ini telah dibawa ke Mahkamah Tinggi melalui permohonan penemuan dokumen, tetapi ditolak pada 2 Julai.

Pada hari sama, Maritime Network memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan yang dijadual didengar pada 11 Dis.

Syarikat itu turut mendakwa tindakan bank menuduhnya melanggar dasar dalaman tanpa memberi penjelasan jelas menyebabkan syarikat berada dalam ketidaktentuan dan dinafikan peluang membela diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.