Kanak-kanak kini boleh masuk premis perniagaan, ‘dine in’ di restoran, kata Masidi

Kanak-kanak kini boleh masuk premis perniagaan, ‘dine in’ di restoran, kata Masidi

Kebenaran kepada golongan itu termasuk di premis perhotelan selain bagi aktiviti perkelahan dan perkhemahan sekiranya ditemani ibu bapa yang telah lengkap divaksin.

Masidi Manjun berkata, pasar tamu, pasar tani, pasar minggu dan pasar malam juga dibenarkan beroperasi di daerah-daerah yang telah mencapai peratusan vaksinasi lengkap sekurang-kurangnya 60% penduduk dewasa. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kanak-kanak di bawah 12 tahun dibenarkan memasuki premis perniagaan termasuk di kompleks beli-belah dan makan di dalam restoran, mulai esok, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun.

Katanya, kebenaran kepada kanak-kanak itu termasuk di premis perhotelan (termasuk fasiliti seperti kolam renang), aktiviti perkelahan dan perkhemahan sekiranya ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin.

“Remaja berusia 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin juga dibenarkan ‘dine-in’ di restoran, masuk ke premis perniagaan termasuk mall, perhotelan (termasuk fasiliti seperti kolam renang), aktiviti perkelahan dan perkhemahan,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sabah, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Masidi berkata, pasar tamu, pasar tani, pasar minggu dan pasar malam juga dibenarkan beroperasi di daerah-daerah yang telah mencapai peratusan vaksinasi lengkap sekurang-kurangnya 60% penduduk dewasa

Bagaimanapun, katanya ia tertakluk kepada penilaian risiko dan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua penjaja atau operator termasuk pengunjung hendaklah telah lengkap divaksin.

Terdahulu, beliau berkata 532 kes baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kini sebanyak 206,048 kes.

Katanya, enam kes kematian turut dilaporkan hari ini iaitu dua kes di Putatan dan Tenom manakala Kota Kinabalu dan Keningau masing-masing mencatatkan satu kes.

“Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.