
Permulaannya berkisar tentang memeluk agama Islam, dia yang mempunyai separuh pemikiran Yahudi itu memutuskan untuk bersikap terbuka tentang keturunannya, walau sesetengah masyarakat memberi pandangan berbeza mengenai Yahudi.
Penerbit Amir Muhammad kemudian muncul dengan idea untuk menulis sejarah orang Yahudi di Pulau Pinang dan Gregory gembira mendapat kesempatan itu.
Amir menganggapnya sebagai sebahagian daripada ilustrasi siri buku kanak-kanak bergambar mengenai aspek sejarah dan budaya Malaysia yang diabaikan, kata Gregory.
Gregory, 45, seorang ahli akademik yang fasih berbahasa Melayu dan hebat berkarya pantun, terus melakukan penyelidikan mengenai masyarakat tersebut.
Dia mengambil masa selama enam bulan untuk menulis buku berjudul “Orang Yahudi Terakhir di Pulau Pinang” itu.
Amir, pemilik ‘Matahari Books’ berjaya mengumpulkan dana melalui sumbangan dana awam untuk menerbitkan buku tersebut dengan 91% daripada sasaran 200 penyokong dicapai dalam masa seminggu ketika ia bermula pada 1 Oktober.
FMT bertemu Gregory, yang kini menetap di Kuching, Sarawak untuk bercerita mengenai bukunya.

Sebagai pencinta sejarah dunia, Gregory sedar kisah Pulau Pinang menjadi tempat tinggal bagi penduduk Yahudi pada suatu masa dahulu harus diceritakan.
Pulau tersebut merupakan tempat bermastautin bagi pelbagai kumpulan Yahudi dari Eropah, Arab dan India.
Buku itu juga menyebut bagaimana orang Yahudi, terutama mereka yang terlibat dalam menjalankan aktiviti rumah ibadat, berhijrah dari Singapura ke Pulau Pinang.
“Buku ini memaparkan aspek sejarah Malaysia yang jarang dan tidak dijangka dalam format mudah difahami seperti yang boleh dinikmati oleh seorang kanak-kanak Tahun Enam,” katanya.
Buku tersebut akan dilancarkan di Festival Sastera George Town pada bulan November nanti.
Menurut Gregory secara peribadi, buku setebal 40 halaman itu telah membuatkan dia berani untuk bersuara secara terbuka bahawa dia adalah separuh Yahudi, sesuatu yang disimpan sejak berhijrah dari Amerika Syarikat (AS).
Ibu bapa Gregory adalah orang Amerika; ibunya seorang Yahudi yang berasal dari Rusia sementara ayahnya berketurunan Poland.
Manakala dia memeluk agama Islam ketika berusia 17 tahun.
“Saya sudah cukup menonjol sebagai orang asing, tanpa menghadapi sebarang kerumitan, jadi saya memutuskan untuk menyimpan fakta bahawa saya seorang Yahudi.
“Masyarakat di sini tidak mempunyai hubungan dengan orang Yahudi dan banyak yang mereka tidak tahu tentang penganut ini. Sebenarnya ada banyak persamaan antara agama Yahudi dan Islam,” katanya.
Gregory berpindah dari Detroit, Michigan ke Kuching pada 2002 setelah mengahwini isterinya yang berasal dari Malaysia di sana.
Isterinya yang kini bersama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), belajar di AS dan mereka dikurniakan tujuh cahaya mata berusia 11 hingga 23 tahun.
Bercerita tentang minat terhadap bahasa Melayu, Gregory berkata ia terbit dari arwah ibu mertuanya yang banyak membantu dia belajar bahasa Melayu.
“Saya sangat berterima kasih kepada ibu mertua saya, Allahyarham Hajah Maznah. Dia datang dan tinggal bersama kami di AS, menolong menjaga anak-anak sewaktu kami menamatkan pengajian,” katanya.

“Dia adalah rakan berbual yang hebat. Kemudian, apabila kami berpindah ke Malaysia, saya menghadapi masalah untuk memperbaiki bahasa Melayu kerana kebanyakan orang yang saya temui dalam bidang profesional begitu fasih berbahasa Inggeris dan secara spontan kami akan berbahasa Inggeris,” ujarnya lagi.
Kata Gregory, dia mengasah ketajaman bahasa Melayunya dengan menterjemahkan lagu, puisi dan peribahasa.
Dia juga memuji kumpulan nasyid terkenal tahun 1990-an seperti kumpulan Hijjaz, Raihan dan Rabbani kerana telah membantunya mahir berbahasa melalui lagu-lagu mereka.
Hari ini, dia pakar dalam sastera Melayu, menterjemahkan pantun dan peribahasa (puisi dan peribahasa) ke dalam bahasa Inggeris. Tugasnya kini adalah sebagai pensyarah di fakulti persekitaran binaan di Unimas.
Bagi Gregory apa yang menarik perhatiannya terhadap pantun adalah ia merupakan ‘tradisi hidup’.
“Orang mengingatnya, menggunakan ia dalam pidato untuk acara formal dan sebagainya. Anda tidak boleh mengatakan hal yang sama mengenai kuatrain atau soneta atau puisi Inggeris rasmi yang lain,” ujarnya.
Gregory mengakhiri wawancara dengan serangkap pantun menarik;
Batang jati kangkung,
Tumbuh rapat di dalam taman,
Suka dipuji gemar disanjung,
Bukanlah sifat orang budiman.
Mereka yang berminat untuk menyumbang kepada dana buku Gregory, boleh memberi sumbangan RM50 dan masukkan nama anda ke dalam buku (untuk 200 penyumbang pertama) disini.
Buku tersebut akan tersedia di kebanyakan kedai buku selepas pelancarannya, dan dijual pada harga RM35.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]