PN Melaka yakin kekuatan sendiri walau tak kerjasama dengan Umno

PN Melaka yakin kekuatan sendiri walau tak kerjasama dengan Umno

Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, PN akan akur dengan keputusan sama ada PRN Melaka dilaksanakan atau tidak.

Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, Bersatu dan PN menghormati pendirian Umno tidak akan bekerjasama dengan parti itu. (Gambar Bernama)
JASIN:
Perikatan Nasional (PN) Melaka yakin mampu membentuk kekuatan sendiri menerusi gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan pada pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu, sekiranya tidak bekerjasama dengan Umno, kata Pengerusinya, Mohd Rafiq Naizamohideen.

“Bersatu dan PN menghormati pendirian Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan tidak akan bekerjasama dengan kita (Bersatu),” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Melaka di sini.

Sebelum ini, Rafiq berkata, PN Melaka sedia berunding dengan Umno bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, namun Zahid dilaporkan berkata, Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka.

Dalam pada itu, Rafiq berkata, PN akan akur dengan keputusan sama ada PRN dilaksanakan atau tidak kerana pastinya pihak terlibat mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan rakyat ketika pandemik Covid-19.

Semalam, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan belum membuat keputusan untuk menasihatkan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah yang menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada Isnin lalu daripada Speaker DUN, Ab Rauf Yusoh, selepas kerajaan negeri dipimpin Umno hilang majoriti dalam DUN.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.