Norhizam diminta segera pulangkan kereta rasmi, aset kerajaan

Norhizam diminta segera pulangkan kereta rasmi, aset kerajaan

Selepas meletak jawatan sebagai Exco Melaka, Idris Haron memulangkan kereta rasmi dan aset kerajaan negeri pada 7 Okt lalu dan Noor Effandi Ahmad akan berbuat demikian Isnin ini.

Norhizam Hassan Baktee bersama tiga ADUN lain mengumumkan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali pada Isnin lalu.
MELAKA:
Bekas Exco Melaka, Norhizam Hassan Baktee diminta memulangkan segera kereta rasmi dan aset yang diamanahkan kepadanya sepanjang memegang jawatan itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Kamel Mohamed berkata, tindakan itu bertujuan menyelesaikan isu berkenaan agar tidak berlarutan sehingga mengganggu tugas penjawat awam.

Setakat ini, katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Idris Haron telah memulangkan kereta rasmi dan aset kerajaan negeri pada 7 Okt lalu, selepas meletak jawatan sebagai Exco.

“ADUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad, yang juga bekas Exco pula memaklumkan akan memulangkan kereta dan aset terlibat pada Isnin ini. Terima kasih diucapkan kepada kedua-dua ADUN terlibat.

“Tindakan tersebut membantu penjawat awam di negeri ini memfokuskan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan semula ekonomi negeri yang terkesan ekoran penularan Covid-19,” kataya dalam kenyataan malam ini.

Beliau turut menyeru penjawat awam di negeri itu menumpukan pelaksanaan projek yang diluluskan agar dapat menjadikan Melaka progresif, maju dan berdaya saing.

Isnin lepas, ketiga-tiga Exco itu bersama ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan mengumumkan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada 4 Okt lepas daripada Speaker, Ab Rauf Yusoh, selepas kerajaan negeri pimpinan Umno hilang majoriti dalam DUN.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.