Tuduhan palsu, Michael Chong nafi terima rasuah RM2 juta daripada Nicky Liow

Tuduhan palsu, Michael Chong nafi terima rasuah RM2 juta daripada Nicky Liow

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA itu terkejut dengan dakwaan yang mencemarkan reputasinya.

Michel Chong menunjukkan salinan ciapan ‘Edisi Siasat’.
PETALING JAYA:
Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Michael Chong menafikan dakwaan beliau menerima RM2 juta daripada Nicky Liow.

Penafiannya itu adalah susulan ciapan dikongsikan “Edisi Siasat” yang mendakwa Liow membayar RM2 juta menerusi peguam Chong untuk menyelesaikan kesnya melibatkan serangan terhadap dua anggota RELA.

Dalam sidang media hari ini, Chong terkejut dengan dakwaan itu yang mencemarkan reputasinya.

“Saya minta dan jemput Edisi Siasat tampil menunjukkan bukti. Saya mahu tahu siapa peguam yang mengambil wang itu dan sama ada benar saya yang mengambilnya.

“Saya tidak pasti siapa yang menulisnya (ciapan itu), tetapi mereka pengecut kerana menulisnya di sebalik skrin komputer. Kami bersedia menyaman mereka kerana membuat tuduhan palsu,” katanya.

Peguam James Ee berkata, beliau seorang daripada tiga peguam yang bertindak sebagai peguam pemerhati untuk anggota RELA terbabit dan menafikan menerima sebarang rasuah daripada Liow.

“Ciapan itu mendakwa wang berkenaan dibayar menerusi seorang peguam dan ini secara tidak langsung mengaitkan saya,” katanya sambil menegaskan beliau langsung tidak menerima satu sen pun.

Chong turut percaya dua lagi peguam tidak menerima sebarang rasuah.

Beliau meminta Liow kembali ke Malaysia untuk menghadapi tuduhannya.

Menurutnya, kali terakhir beliau melihat Liow pada 2020 yang memaklumkan dia kesal atas kejadian melibatkan anggota RELA itu.

“Liow meminta maaf dan memberitahu dia telah insaf. Tiada kepentingan peribadi antara kami berdua,” katanya.

Liow, 33, ditahan pada 2017 kerana menyerang dua anggota RELA. Dia dilepas dan dibebaskan dua tahun kemudian selepas mangsa bersetuju dengan penyelesaian kes itu.

Pada 9 April lalu, Liow dan adik lelakinya didakwa secara in absentia (tanpa kehadiran mereka) di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang.

Menurut laporan baru-baru ini, siasatan menunjukkan Liow kali terakhir dilihat di Setiawalk, Puchong, pada 20 Mac dan melarikan diri dengan membawa beberapa beg berisi wang tunai.

Polis memperoleh Notis Merah Interpol untuk mengesan dan menahannya serta pembantunya yang merupakan warga China, Niu Zhi, 31.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.