
Beliau berkata, permohonan itu turut dihantar kepada Australia, negara ketiga yang menjadi lokasi tujuan Sajat seterusnya selepas Bangkok.
“Pada masa ini, kita sedang menunggu keputusan selanjutnya daripada pihak berkuasa Thailand dan negara ketiga sebelum proses membawa balik Sajat dilakukan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Abd Jalil berkata, sekiranya tiada masalah, proses membawa pulang Sajat akan dilaksanakan mengikut saluran undang-undang antarabangsa.
“Polis akan meneruskan proses membawa pulang kerana Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses membawa pulang orang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.
“Permohonan ini akan dibuat dalam tempoh masa terdekat, namun bergantung kepada negara berkenaan sama ada akan memenuhi permintaan kita atau tidak.”
Sebelum ini, Sajat dilaporkan memohon kad pelarian Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia dan dia dalam proses menunggu kelulusan negara ketiga tersebut.
Media melaporkan Sajat ditahan imigresen Thailand pada 8 Sept lalu ketika berlindung di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita.
Dia kemudiannya dihadapkan ke mahkamah di Thailand pada 9 Sept lalu atas kesalahan imigresen dan dikenakan hukuman denda.
Pada 20 Sept lalu, Bukit Aman mengesahkan Sajat dikehendaki polis di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 353 kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.