Hanya uji cuba, polis belum muktamad beli 5 BMW, Volkswagen

Hanya uji cuba, polis belum muktamad beli 5 BMW, Volkswagen

Polis sedia maklum dengan kekangan kewangan dihadapi kerajaan semasa pandemik, namun tawaran sebuah syarikat itu sekadar untuk uji cuba.

Gambar lima BMW M3 dan Volkswagen Tiguan yang dilengkapi aksesori sebagai kenderaan polis tular sejak semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani menjelaskan lima unit kenderaan mewah jenis BMW dan Volkswagen yang diterima pasukan itu hanya untuk uji cuba atau “peringkat pembuktian konsep” (POC) selama dua minggu.

Katanya, keputusan mengguna pakai lima kenderaan model BMW M3 dan Volkswagen Tiguan itu belum dimuktamadkan.

“PDRM pada masa ini hanya menggunakan kereta berkenaan selama dua minggu sebagai percubaan tanpa apa-apa perjanjian.

“Tujuannya untuk kita mendapat maklum balas sama ada kegunaan kenderaan ini sesuai atau tidak bagi sebarang penugasan dalam PDRM,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian susulan penyebaran gambar lima kenderaan mewah itu yang dilengkapi aksesori sebagai kenderaan polis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Hazani Ghazali berkata, jabatannya bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta cawangan pengiring akan menggunakan kenderaan itu dalam dua minggu ini.

“Ingin dijelaskan di sini, penggunaan kenderaan ini adalah sebagai uji cuba atau POC selama tempoh dua minggu yang ditawarkan oleh sebuah syarikat kepada PDRM dan tiada sebarang urusan pembelian dilakukan.

“Kita akan uji kenderaan ini sebelum sebarang keputusan untuk penggunaannya diputuskan PDRM kelak, bukannya dalam masa terdekat.”

Katanya, polis sedia maklum dengan kekangan kewangan dihadapi kerajaan semasa pandemik, namun tawaran syarikat berkenaan sekadar untuk uji cuba.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.