Anggota polis mengaku tak salah buat laporan palsu

Anggota polis mengaku tak salah buat laporan palsu

Tertuduh, S P Varathraju Pillai, 39, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Polis Pusat di Ipoh pada 3.30 petang, 27 Ogos lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membuat laporan polis palsu pada Ogos lalu.

Tertuduh, S P Varathraju Pillai, 39, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan majistret Nor Azreen Liana Mohd Darus.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan polis palsu kepada Koperal Aminah Berahim, iaitu seorang penjawat awam yang dengan jalan demikian menyebabkan dia menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Polis Pusat di Ipoh pada 3.30 petang, 27 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi manakala tertuduh diwakili peguam Amrick Singh Sandu.

Amrick memohon wang jaminan terhadap tertuduh dikurangkan kepada RM1,000 berikutan tertuduh yang menanggung dua anak berusia 10 dan 13 tahun selain menjaga ibu berusia 61 tahun yang mengalami penyakit diabetes.

Nor Azreen kemudian membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mahkamah turut menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.