2 minggu penjara, denda RM9,000 buat pemandu Lamborghini

2 minggu penjara, denda RM9,000 buat pemandu Lamborghini

Lelaki itu tidak dibenarkan mengambil lesen memandu selama lima tahun dan disaman kerana memandu tanpa lesen memandu.

Pemandu Lamborghini terbabit dihadapkan ke Mahkamah Trafik Jalan Duta hari ini. (Gambar Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik KL)
PETALING JAYA:
Pemandu sebuah kereta Lamborghini yang mengakibatkan kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Tun Razak bulan lalu, dijatuhkan hukuman penjara dua minggu dan denda RM9,000 oleh Mahkamah Trafik Jalan Duta hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki itu mengaku bersalah di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Katanya, tertuduh akan dipenjara lima bulan, jika gagal membayar denda RM9,000.

“Pemandu tersebut juga tidak dibenarkan mengambil lesen memandu selama lima tahun dan kesalahan itu diendors pada lesen memandu.

“Saman turut dikenakan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan tanpa lesen memandu,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian 8 Sept lalu, tertuduh dipercayai hilang kawalan ketika menghadapi kesesakan lalu lintas di Jalan Tun Razak menuju ke Bulatan Pahang sebelum merempuh beberapa kereta, termasuk Proton Perdana yang dipandu seorang wanita berusia 53 tahun sehingga terbalik.

Sebelum ini Sarifudin berkata, semua pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu hanya cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Saringan ujian air kencing dan alkohol menunjukkan pemandu kereta Lamborghini itu bebas daripada penggunaan bahan terlarang serta alkohol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.