Salah guna barang kemas peniaga untuk ‘buang sihir’, bomoh dipenjara 8 bulan

Salah guna barang kemas peniaga untuk ‘buang sihir’, bomoh dipenjara 8 bulan

Majistret Sarulatha Paramavathar menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Izwan Mohd Ahmid, 34, dan memerintahkan ia bermula dari tarikh tangkap pada 5 Okt.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh juga didenda. (Gambar Reuters)
KLANG:
Seorang bomoh lelaki dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menyalahgunakan barang kemas bernilai lebih RM20,000 milik seorang peniaga nasi kukus yang diserah untuk “dibuang sihir” pada Ogos lepas.

Majistret Sarulatha Paramavathar menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Izwan Mohd Ahmid, 34, dan memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap pada 5 Okt.

Mohd Izwan yang digelar “Tok Wan” didakwa menyalahgunakan harta bukan miliknya iaitu 24 jenis barang kemas emas bernilai RM22,910 yang diserahkan oleh seorang lelaki untuk tujuan rawatan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang, Jalan Kapar dekat sini, pada 9.21 pagi, 21 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh juga didenda.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah menghubungi ‘Tok Wan’ pada 21 Ogos selepas disyaki mengalami gangguan misteri.

Tok Wan kemudian pergi ke rumah mangsa bersama penolongnya dan meminta semua barang kemas milik keluarga mangsa atas alasan mahu ‘membuang sihir’ pada barang kemas tersebut dan mangsa yang mempercayainya telah menyerahkan kesemua barang kemas itu.

Pada 21 Sept tertuduh telah sekali lagi ke rumah mangsa dengan membawa satu punjut kain berwarna kuning yang dikatakan mengandungi barang kemas milik keluarga mangsa dan diberi arahan agar membukanya selepas 10 hari.

Bagaimanapun mangsa telah membuka punjut tersebut pada 28 Sept dan mendapati barang kemas yang terdapat di dalamnya adalah berbeza dan tiruan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifl memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung isteri dan empat anak selain menghidap penyakit darah tinggi dan masalah prostat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.