
Mohd Daie, 35, berkata, dia bersyukur kerana sempat pulang sebaik dihubungi ibunya, Norhasnifah Yusof, 57 dan berjaya menyelamatkan keluarganya walaupun segala harta benda termasuk dokumen penting, musnah dijilat api.
Tambahnya, rumah teres yang tiada tingkap kiri dan kanan menyebabkan asap tidak keluar sehingga menyukarkan usahanya untuk masuk menyelamatkan harta benda.
“Saya bergegas pulang ke rumah dan sempat menyelamatkan ibu serta dua anak.
“Didapati ruang tamu rumah dipenuhi asap tebal sementara ibu dan dua anak saya berusia tujuh dan empat tahun sedang menangis.
“Keadaan asap tebal memenuhi ruang tamu rumah menyebabkan ibu dan anak panik kerana tidak tahu berbuat apa-apa,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Kebakaran pada 2.30 petang itu turut merebak dan memusnahkan lima lagi rumah teres bersebelahan.
Dalam kejadian itu, 22 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Chukai dengan bantuan anggota Pasukan Bomba Sukarela Kemaman, Kijal dan Felda Seberang Tayor berjaya menyelamatkan 14 rumah lagi daripada turut terbakar.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, enam rumah terbabit didiami 30 mangsa dan mereka akan ditempatkan di Dewan Sivik Kampung Gong Limau.
“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan semua peralatan diperlukan mangsa selain bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk menyalurkan bantuan bersesuaian.”