
Bercakap dalam siri “Conversations” MIDF yang dihoskan Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Charon Mokhzani, hari ini, Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar berkata, media bertanggungjawab memberikan rakyat gambaran sebenar mengenai keadaan dalam negara.
Katanya, ini termasuk mengetengahkan perkara baik mahupun buruk dari semua sudut dalam spektrum politik serta sosial, seterusnya menggalakkan persefahaman dan keharmonian.
“Sebagai media, tanggungjawab kita adalah untuk mendidik masyarakat sebaik mungkin. Kita perlu terbuka untuk berdebat mengenai dasar, malah dasar perkauman. Kita perlu terbuka menerima pandangan semua orang dan bersedia untuk berkompromi,” katanya.
Beliau berkata, ini amat penting bagi generasi akan datang, yang lebih berfikiran global serta terbuka menerima pandangan baharu, apatah lagi golongan terbabit bukan sekadar terikat dengan ideologi yang sudah lama menjadi pegangan.
“Ambil peduli. Pedulikan tentang negara ini, pedulikan bagaimana ia memberi kesan terhadap kamu dan buatlah pilihan sewajarnya,” pesan beliau kepada golongan muda.
“Tugas kami adalah untuk menyampaikan maklumat supaya kamu membuat keputusan bijaksana, pilihan berilmu dalam memperjuangkan sesuatu, malah juga ketika membuang undi supaya kita dapat bersama membuat pilihan terbaik untuk negara.”
Mengenai globalisasi media, beliau berkata, adalah penting untuk isi kandungan berkaitan Malaysia mencapai tahap yang dapat dieksport serta dipasarkan secara global.
“Dunia ini umpama taman permainan kita. Kita tidak boleh terus selesa sebaliknya mesti memperluaskan kumpulan khalayak.
“Ada sebab dari dulu modal perniagaan Malaysia adalah untuk mengeksport produk kita. Untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, kita perlu mengeksport, jadi kita perlu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan dunia.
Rafiq Razali, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, bersetuju bahawa perlunya memperluaskan pandangan menjangkaui sempadan Malaysia.
Beliau memberi contoh, usaha Korea Selatan yang diselaraskan dalam mempromosikan kandungan tempatannya sehingga membawa kepada kejayaan K-pop serta industri perfileman dan televisyen berbahasa Korea di peringkat global.
“Kita perlu lebih berani dari segi ciptaan kandungan,” katanya.
“Kita perlu berfikir secara global. Saya tidak rasa itu berlaku buat masa ini. Kebanyakan kandungan dihasilkan adalah untuk penduduk kita sendiri.”
Beliau berkata, merangka strategi perniagaan ke arah perkembangan global memang sentiasa menjadi cabaran. Justeru katanya, perkembangan di peringkat serantau boleh dilakukan sebagai langkah awal sebelum diperluaskan lagi.