
Dalam laporan bertajuk “Reformasi Jawatan Peguam Negara dan Perkhidmatan Kehakiman di Malaysia”, kumpulan pemantau pilihan raya itu berkata, ketiadaan kawalan perlembagaan terhadap jawatan Peguam Negara merangkap pendakwa raya menyebabkan pendakwaan terpilih dan penguatkuasaan undang-undang jenayah yang tidak sama rata.
Laporan ditulis oleh Andrew Yong dan dinaungi Bersih 2.0 itu memberikan beberapa cadangan kepada kerajaan tentang bagaimana sistem sedia ada dapat diperbaiki.
Bagi cadangan pertama, Bersih menggesa supaya pendakwa raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan syor Suruhanjaya Perkhidmatan yang sesuai.
“Pendakwa raya hendaklah dilantik untuk satu penggal selama lapan tahun, tertakluk kepada usia persaraan yang sama seperti hakim Mahkamah Persekutuan.”
Menurut Bersih, Parlimen juga mesti mempunyai kuasa untuk mewajibkan pendakwa raya berunding dengan Peguam Negara dalam kes tertentu.
“Pendakwa raya juga harus memiliki kuasa, dengan kebenaran mahkamah atau persetujuan pihak berkuasa yang berkenaan, untuk mengambil alih sebarang pendakwaan,” menurut kenyataan itu.
Bagi jawatan Peguam Negara, Bersih 2.0 menegaskan pentingnya peranan Parlimen dalam memastikan bahawa calon terbaik dicadangkan oleh Perdana Menteri.
“Parlimen harus mempunyai hak untuk mewajibkan pencalonan Perdana Menteri dikemukakan untuk persetujuan Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen.
“Peguam Negara harus menghadiri sesi Kabinet secara berkala, dan juga berhak seperti menteri Kabinet, untuk mengambil bahagian secara ex officio dalam prosiding kedua-dua Dewan,” tambah kenyataan itu.
Pemisahan perkhidmatan kehakiman dan perundangan
Cadangan kedua laporan Bersih itu adalah untuk pemisahan perkhidmatan kehakiman dan perundangan, dengan masing-masing mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan tersendiri.
Menurutnya, perkhidmatan kehakiman wajar kembali dipengerusikan Ketua Hakim Negara, manakala Peguam Negara tidak lagi menjadi anggota ex officio perkhidmatan perundangan.
Selain itu, ia menggesa Suruhanjaya Pembaharuan Undang-undang diwujudkan, terdiri daripada ahli akademik dan bekas hakim.
Menurutnya, suruhanjaya ini perlu diletakkan di bawah pengawasan Kementerian Undang-undang bagi membentuk cadangan pembaharuan perundangan bagi pembentangan di Parlimen.
Menurut laporan, bulan lalu Pejabat Peguam Negara telah mewujudkan jawatankuasa kerja untuk mengkaji pemisahan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya.