
Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ Bukit Aman.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapi-apikan atau yang mungkin mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain,” katanya dalam kenyataan.
Jalil berkata, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Katanya, video berdurasi satu minit berkenaan mula tersebar di beberapa aplikasi media sosial seperti TikTok, Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu dan mengundang kemarahan orang ramai.
Tambah beliau, siasatan berhubung kes terbabit masih dijalankan dan pihaknya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, malah tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
Terdahulu, FMT melaporkan kira-kira 30 badan bukan kerajaan membuat laporan polis terhadap seorang penceramah tempatan, Syakir Nasoha, yang didakwa menghina penganut agama Hindu dan Buddha serta orang Dayak dalam ceramahnya.
Jurucakap kumpulan itu, Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global, S Shashi Kumar, seusai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 3 Okt lalu mendakwa penceramah itu berkata “orang kafir” akan menyerang orang Islam.
Sementara itu, Syakir Nasoha, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, dilaporkan menjelaskan ceramah asalnya dipotong dan ditularkan sehingga menyebabkan orang bukan Islam tersalah faham apa yang dimaksudkannya.
Dalam video penjelasannya, Syakir berkata, keratan video itu diambil dan disebarkan kepada umum sehingga menimbulkan salah faham kepada orang bukan Islam.