Ketatkan peraturan untuk pengendali Airbnb, kata persatuan hotel

Ketatkan peraturan untuk pengendali Airbnb, kata persatuan hotel

Persatuan Hotel Malaysia berkata, Airbnb sepatutnya dikenakan peraturan percukaian sama memandangkan ia perniagaan yang bersaing dengan penginapan hotel.

Airbnb patut dikenakan syarat percukaian sama seperti hotel, kata Persatuan Hotel Malaysia. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Industri perhotelan yang kini nazak susulan pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan yang dilaksanakan sebelum ini menggesa kerajaan mengenakan peraturan lebih tegas terhadap Airbnb dan pengendali penginapan jangka pendek lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata, kerajaan kehilangan pendapatan hasil cukai kerana ketiadaan peraturan seperti itu.

“Disebabkan Airbnb adalah perniagaan yang bersaing dengan penginapan hotel, ia sepatutnya dikenakan peraturan percukaian sama seperti hotel,” katanya.

Beliau juga mendakwa ada pihak menyalahgunakan pendekatan Airbnb dengan menyewa unit-unit kediaman sepenuhnya untuk tujuan pelancongan.

Selain itu beliau mendakwa kewujudan Airbnb mengakibatkan harga rumah melonjak.

“Pulangan bagi pelaburan daripada Airbnb menyebabkan golongan kaya membeli hartanah sebagai pelaburan, seterusnya menyebabkan harganya naik terutama di bandar besar,” katanya.

Disoal bagaimana keadaan industri perhotelan kini, beliau berkata, “industri ini memerlukan bantuan kewangan untuk bangkit semula, mengembalikan daya saing serta membina semula tenaga kerjanya.”

Katanya, pelancongan adalah industri yang amat kompetitif dan hotel-hotel kini terbeban.

Menurut laporan, pandemik Covid-19 menyebabkan 55 hotel di seluruh negara ditutup, manakala 86 lagi ditutup sementara dan kira-kira 8,000 pekerja industri kehilangan kerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.