Isu bubar DUN Melaka: Bawa saja ke mahkamah, bukan kepada Agong, kata peguam

Isu bubar DUN Melaka: Bawa saja ke mahkamah, bukan kepada Agong, kata peguam

Peguam berpendapat pihak yang menentang pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka sepatutnya mencabar perkara itu di mahkamah, bukannya memohon Yang di-Pertuan Agong membatalkannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka menunjukkan surat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
PETALING JAYA:
Pihak yang menentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sepatutnya mencabar perkara itu di mahkamah, bukannya memohon Yang di-Pertuan Agong membatalkannya, kata dua peguam.

Pakar perlembagaan, Bastian Pius Vendargon, berkata undang-undang tubuh kerajaan negeri Melaka memperuntukkan hanya Yang Dipertua Negeri mempunyai kuasa sama ada membubarkan DUN atau tidak, atas nasihat Ketua Menteri.

Pembangkang bagaimanapun, boleh berhujah Ketua Menteri sudah hilang majoriti, justeru tidak layak lagi memberikan nasihat terbabit.

“Isu ini perlu diputuskan di mahkamah. Sekiranya, mahkamah menerimanya sebagai boleh diadili, maka ia terbuka untuk diputuskan oleh mahkamah.

“Jadi, saya tidak melihat relevannya untuk merujuk perkara berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya memberitahu FMT.

Dalam pada itu, A Surendra Ananth, berkata sekiranya pembubaran belum diwartakan, maka Yang Dipertua Negeri masih boleh menarik semula pengumumannya itu.

Katanya, jika tidak “pilihan terbaik” adalah untuk pihak yang tidak berpuas hati membawa perkara itu ke mahkamah.

Sementara itu, Philip Koh dari Universiti Malaya (UM), berkata tiada peruntukan dalam perlembagaan yang memberi kuasa untuk membatalkan pengumuman pembubaran , justeru rayuan kepada mana-mana pihak berkuasa “tiada asas perundangan”.

Katanya, dalam kes membabitkan Melaka, adalah menjadi bidang kuasa Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN kerana ia melibatkan hal ehwal negeri.

“Yang di-Pertuan Agong adalah Raja Berperlembagaan dan kuasa tadbir baginda termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Umumnya, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa berkaitan hal ehwal negeri”.

Koh ketika mengulas lanjut, berkata sebaik Yang Dipertua Negeri mengumumkan pembubaran, perkara itu akan mengikut apa yang diperuntukkan dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Melaka.

Katanya, satu-satunya pengecualian adalah bagi Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Darurat selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dan Kabinet, sekali gus menangguhkan pilihan raya negeri (PRN).

Terdahulu hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan Melaka Adly Zahari bersama empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali telah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung pembubaran DUN.

Kumpulan itu mahu Yang di-Pertuan Agong menasihatkan Yang Dipertua Negeri menarik semula keputusan pembubaran DUN Melaka.

Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam, bersetuju membubarkan DUN Melaka selepas empat ADUN itu menarik sokongan terhadap Sulaiman, menyebabkan kerajaan pimpinannya hanya mempunyai 13 kerusi daripada 28 kerusi keseluruhan DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.