PH, Bersatu cuba ambil kesempatan susulan perpecahan Umno Melaka, kata penganalisis

PH, Bersatu cuba ambil kesempatan susulan perpecahan Umno Melaka, kata penganalisis

Penganalisis berkata PH dan Bersatu akan berusaha menarik pemimpin Umno Melaka untuk bersama mereka.

Ketegangan yang berlaku antara Sulaiman Md Ali (kiri) dan Idris Haron dikatakan tercetus sejak Langkah Sheraton lagi, kata sumber dalaman parti.
PETALING JAYA:
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mencetuskan spekulasi bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu kini mula mencari jalan untuk mendapat manfaat daripada perpecahan dalam Umno.

Dua penganalisis, Azmi Hassan dan Oh Ei Sun memberitahu FMT, mereka percaya kedua-dua parti berkenaan akan berusaha, misalnya untuk menarik pemimpin Umno Melaka supaya bergabung dengan mereka.

Bersatu dilihat lemah dan Azmi berkata, ia mungkin cuba mencari jalan untuk bekerjasama dengan Umno bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru sekiranya pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Katanya, ada beberapa orang ADUN daripada Umno yang mempunyai hubungan rapat dengan PH dan gabungan itu akan berusaha menarik mereka.

Berlaku perpecahan dalam Umno Melaka apabila sebahagian wakilnya masih menyokong pimpinan Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri manakala yang lain pula menyokong langkah bekas Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Udang Idris Haron.

Sumber dalaman memaklumkan kepada FMT semalam bahawa ketegangan yang berlaku antara Sulaiman dan Idris timbul sejak Langkah Sheraton dibuat untuk menggulingkan kerajaan PH yang seterusnya menyaksikan pelantikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri.

Azmi berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menyedari populariti parti itu di Melaka akan memilih untuk mengadakan PRN bagi membuktikan Umno masih mempunyai sokongan pengundi.

Bagaimanapun, selepas 24 jam mencadangkan perkara itu, Zahid kemudian mengubah pendiriannya apabila berkata, mungkin berbahaya untuk mengadakan PRN dalam tempoh 60 hari akan datang berikutan pandemik Covid-19.

Azmi berkata, Zahid mungkin berubah fikiran disebabkan tidak mahu dipersalahkan sekiranya kes Covid-19 meningkat kembali.

Manakala Oh berkata, darurat mungkin akan diisytiharkan di Melaka seperti yang berlaku di Sarawak untuk menangguhkan pilihan raya.

“Sekiranya PRN diadakan, kes akan meningkat dan tiada siapa yang mahu dipersalahkan,” katanya.

Semalam, Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam membubarkan DUN Melaka selepas empat ADUN menarik balik sokongan terhadap Sulaiman menyebabkan kerajaan pimpinannya hanya mempunyai sokongan 13 daripada 28 kerusi DUN.

Tiga daripada empat orang terbabit adalah Exco kerajaan negeri.

ADUN berkenaan ialah Idris, bekas wakil DAP Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) daripada Bersatu dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) daripada Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.