‘Pandora Papers’ tak perlu dibahas segera, Speaker tolak usul Anwar

‘Pandora Papers’ tak perlu dibahas segera, Speaker tolak usul Anwar

Azhar Harun berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 dan aturan mesyuarat lain juga penting serta perlu disegerakan.

Azhar Harun berpendapat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih sesuai dan berkesan untuk membincangkan isu ‘Pandora Papers’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Harun menolak usul membahaskan isu “Pandora Papers” yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pada Isnin lalu kerana ia bukan perkara yang perlu disegerakan.

Azhar bagaimanapun mencadangkan supaya Anwar menggunakan prosedur lain untuk membincangkan isu itu, termasuk menerusi soalan menteri, soal jawab lisan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Saya setuju sekali perkara itu penting dan perlu disiasat, tetapi masalahnya ialah saya mendapati ia tak perlu disegerakan kerana bagi saya persidangan mesyuarat kita dahulukan dengan aturan mesyuarat.

“Walaupun penting atau teramat penting seperti dinyatakan Ketua Pembangkang, tak semestinya ia perlu disegerakan dan boleh dibangkit bila-bila masa,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjelaskan alasan usul itu ditolak.

Terdahulu, Anwar menggesa usul itu dibahaskan di Dewan Rakyat kerana ia melibatkan wang berbilion ringgit yang dibawa keluar dari negara ini.

Katanya, beberapa negara lain yang turut didedahkan dalam “Pandora Papers” itu telah membuka siasatan dan jika kita tidak bersedia membentangkan di Parlimen, maka ia adalah sesuatu yang memalukan.

“Kalau kerajaan tak benar buat siasatan, saya minta Perdana Menteri yang bercakap soal ketelusan perlu jelaskan, bagaimana kita boleh diam bila ratusan bilion ringgit dibawa keluar tanpa peraturan dan cara haram dari negara kita.

“Kalau kita diam, malu kita. Kita tak boleh terima hal ratusan bilion keluar tidak disiasat di Parlimen.”

Azhar kemudian menjelaskan, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan aturan mesyuarat lain juga penting serta perlu disegerakan.

Selain dalam Dewan Rakyat beliau berpendapat, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih sesuai membicangkan isu itu.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih baik untuk dibincangkan dan lebih berkesan. Saya bukan kata isu itu tak penting untuk dibincang di Dewan Rakyat, tapi tak bermakna kita perlu segerakan, RMK12 juga penting.

“Kalau ia dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, masa yang panjang boleh dibincangkan dan ia lebih efektif.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.