Kerajaan rugi RM254 juta jika naikkan cukai rokok 10%, kata badan pemikir

Kerajaan rugi RM254 juta jika naikkan cukai rokok 10%, kata badan pemikir

Datametrics Research and Information Sdn Bhd berkata, perokok akan beralih kepada alternatif murah dan haram, menyebabkan kerajaan kerugian dari segi hasil cukai.

Pasukan polis dan kastam merampas sejumlah besar rokok seludup, tetapi perbezaan harga mendorong penyeludupan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiap kenaikan 10% duti eksais tembakau akan menyebabkan kerajaan kerugian RM254 juta dari segi hasil cukai tidak dikutip, kata badan pemikir Datametrics Research and Information Sdn Bhd (DARE).

Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, berdasarkan laporan kajian bertajuk “Memenangi Peperangan di dalam Pasaran Gelap Tembakau”, kerajaan akan kerugian sekitar RM5 bilion dari segi hasil cukai tidak dikutip, dengan perniagaan haram meraih RM8 bilion setahun dalam hasil daripada tembakau haram.

Katanya, apabila produk tembakau yang sah dikenakan cukai tinggi, ia akan mendorong lebih ramai pengguna beralih kepada alternatif lebih murah, tetapi haram.

“Ini juga akan memburukkan masalah sosioekonomi, menggalakkan rasuah secara sistemik di pelbagai agensi penguatkuasaan yang didorong keuntungan perdagangan tidak sah ini; jenayah menembusi badan pembuat dasar negara dengan lebih mendalam; dan mengurangkan keyakinan pelabur kerana kedaulatan undang-undang terancam.”

Pankaj berkata, disebabkan produk tembakau sah adalah mahal, permintaan untuk produk pasaran haram akan meningkat dan perniagaan haram akan melakukan apa sahaja bagi meraih keuntungan.

Beliau mencadangkan kerajaan meningkatkan penguatkuasaan, mengekalkan moratorium cukai untuk mengurangkan ketirisan hasil cukai serta mengurangkan jurang harga antara produk tembakau sah dan haram.

“Malaysia perlu menyelesaikan masalah ini untuk menjana lebih banyak dana bagi memenuhi sasaran yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.