Bina keluarga secara cermat, tanpa berhabis duit

Bina keluarga secara cermat, tanpa berhabis duit

Hospital Ohana tumpu kepada penjagaan kesihatan ibu dan anak, dan menawarkan perkhidmatan menyeluruh sebelum dan selepas kelahiran.

Taska khidmat penuh di Hospital Ohana setanding dengan yang ditawarkan di hospital swasta lebih besar.
PETALING JAYA:
Sesuai dengan namanya yang bermaksud “keluarga” dalam bahasa Hawaii, Hospital Ohana tertumpu kepada usaha membantu rakyat membina keluarga secara cermat tanpa perlu berhabis duit.

Hospital pakar perbidanan dan fasiliti untuk kanak-kanak yang bakal diperoleh syarikat Ipmuda Bhd ini berharap dapat merapatkan jurang antara perkhidmatan penjagaan kesihatan awam yang murah tetapi sesak dengan hospital swasta yang mahal.

Matlamat cabang penjagaan kesihatan Ipmuda Bhd adalah untuk menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang diperibadikan dan mampu milik buat golongan berpendapatan menengah yang semakin berkembang namun kurang mendapat perkhidmatan sebaiknya.

Langkah ini sangat penting memandangkan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam terus diasak cabaran demi cabaran akibat wabak Covid-19.

Dengan lebih 70 doktor dan jururawat berpengalaman yang hampir semuanya wanita, Ohana ingin menyediakan persekitaran selesa dan selamat bagi ibu-ibu, setanding yang ditawarkan di tempat lain, pada harga berpatutan.

Dengan bilangan pesakit yang sedikit, perkhidmatan dapat dikhususkan buat keperluan setiap keluarga bagi penjagaan yang diperibadikan.

Ahli lembaga bukan eksekutif Ipmuda Bhd, Amiruddin Abdul Satar, yang juga bekas presiden KPJ Group berkata, walaupun perkhidmatan yang ditawarkan di Ohana lebih rendah berbanding fasiliti swasta yang lebih besar, kualiti yang diberikan Ohana hampir tiada beza.

“Saya boleh kata perkhidmatan perbidanan Ohana serupa atau setaraf perkhidmatan yang ditawarkan di hospital-hospital besar yang lain,” katanya kepada FMT.

“Dengan Ohana, atau mana-mana hospital perbidanan kecil yang menawarkan perkhidmatan bersalin mampu milik, kita dapat menarik segmen pasaran lebih besar kerana bukan semua orang mampu mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta yang besar.”

Katanya, ini sangat penting memandangkan ramai orang terpaksa membayar sendiri bagi mendapatkan perkhidmatan perbidanan.

“Kebanyakan majikan, kebanyakan syarikat insurans tidak merangkumi perkhidmatan perbidanan,” katanya.

“Kebanyakan (perkhidmatan) bersalin dibayar secara tunai, sama ada di hospital besar mahupun kecil. Ada yang tidak mampu membayarnya, terutamanya apabila membabitkan pembedahan Caesarean, di hospital besar.”

Amiruddin menyangkal tanggapan “hospital lot kedai” seperti Ohana tidak mampu menawarkan perkhidmatan yang bagus dan tiada peralatan yang sesuai.

“Mungkin ini benar 10-20 tahun dahulu, tetapi kini kerajaan sangat tegas ketika mengeluarkan lesen bagi hospital-hospital swasta dan mereka memastikan semua fasiliti, kecil atau besar, mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

“Standard penjagaan dan fasiliti di hospital kecil mahupun besar adalah serupa. Bezanya di hospital besar, lebih banyak perkhidmatan ditawarkan, namun hospital lebih kecil menawarkan perkhidmatan yang lebih tertumpu.”

Terletak di lokasi strategik di tengah-tengah Seri Rampai, Kuala Lumpur, dengan populasi yang berkembang di kawasan-kawasan perumahan yang sudah membangun, Ohana menawarkan kepada ibu bapa banyak jenis perkhidmatan, seperti kelas pranatal dan rawatan kesuburan, selain pilihan selepas bersalin seperti vaksinasi, khatan dan penjagaan kanak-kanak.

Terdapat juga taska khidmat penuh di lokasi setanding dengan yang ditawarkan di hospital yang lebih besar dan mahal.

Hospital ini juga menawarkan ruang bilik yang luas untuk memastikan keselesaan pesakit, dilengkapi kemudahan seperti peti sejuk, bilik mandi peribadi, penyaman udara dan Wi-Fi.

Selain perbidanan dan penjagaan awal kanak-kanak, hospital ini juga menangani kes kemalangan am dan kecemasan.

Walaupun Ipmuda tertumpu kepada penjagaan ibu dan anak buat masa ini, ia tidak menolak untuk berkembang ke bidang pengkhususan lain kemudian hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.