
Ini selepas 59 pekerja dan ahli keluarga mereka disahkan positif virus itu pada 1 Okt lalu, yang menyebabkan penutupan sementara resort itu. Difahamkan, tetamu dipindahkan segera ke hotel lain apabila kes mula dikesan.
Pengarah Kesihatan Kedah, Othman Warijo berkata, 59 kes positif itu dikesan hasil saringan ke atas 249 orang yang dikenal pasti melalui pengesanan kontak, dengan tiga lagi kes menunggu keputusan mereka.
Katanya, penularan itu kini terkawal, dengan mereka yang disahkan positif diarahkan menjalani kuarantin rumah selama 10 hari.
“Siasatan awal menunjukkan jangkitan itu mungkin dari komuniti dan kemudian merebak di tempat kerja. Tiada yang dirawat di wad kerana mereka hanya mengalami gejala ringan atau tiada gejala sama sekali,” katanya ketika dihubungi.
Othman berkata, kes positif itu menyebabkan tercetusnya kluster baharu tempat kerja yang dinamakan “Dah Teluk Nibong” pada 1 Okt.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Eugene Dass berkata, semua hotel di Langkawi mematuhi SOP ditetapkan kerajaan secara ketat.
Katanya, Jabatan Kesihatan Kedah mujur telah segera mengumpul semua pekerja yang dijangkiti virus itu dan kontak rapat mereka untuk disaring.
Katanya, kerajaan perlu tampil dengan SOP berkaitan fasa endemik untuk gelembung pelancongan Langkawi, dan menggesa perbincangan untuk menambah baik peraturan supaya mereka tidak menghukum hotel.