Remaja syukur tak terkata, kisah kemiskinan dapat perhatian PM

Remaja syukur tak terkata, kisah kemiskinan dapat perhatian PM

Wan Nur Atierah Wan Mohd Nasrom, 19, berpeluang melanjutkan pelajaran ke UPSI dengan dikecualikan bayaran yuran pendaftaran universiti dan pengajian semester pertama.

Wan Nur Atierah Wan Mohd Nasrom menunjukkan surat tawaran daripada UPSI untuk melanjutkan pelajaran dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) selama empat tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kisah kemiskinan seorang pelajar tidak dapat membuat persediaan untuk memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akibat masalah kewangan mendapat perhatian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pegawai Khas Perdana Menteri Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata Wan Nur Atierah Wan Mohd Nasrom, 19, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) selama empat tahun.

Katanya, menerusi tindakan yang telah diambil Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad pelajar berkenaan akan diberikan pengecualian bayaran yuran pendaftaran universiti dan yuran pengajian semester pertama.

“Keprihatinan Perdana Menteri dapat dilihat apabila beliau telah menggunakan jentera-jentera kepimpinan masyarakat setempat untuk menjadi mata dan telinga kepada beliau.

“Jadi, kes ini telah dimaklumkan kepada pihak kami di Jabatan Perdana Menteri khususnya daripada kepimpinan Umno Bahagian Tumpat mengenai halangan dihadapi oleh Wan Nur Atierah yang tidak dapat membuat persediaan ke UPSI disebabkan kekangan dari segi kewangan,” katanya, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Wan Nur Atierah di Kampung Bendang, Pulau Palekbang di Tumpat, hari ini untuk menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Ismail Sabri kepada pelajar itu, yang turut dihadiri oleh Pengetua SMK Kampung Laut, Mohd Nazeli Mohd Nawi.

Dalam kunjungan berkenaan Setiausaha Politik Perdana Menteri Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad turut melakukan panggilan video selama 10 minit kepada Wan Nur Atierah untuk menyampaikan amanat serta nasihat daripada Perdana Menteri kepadanya.

Wan Nur Atierah mendapat perhatian warganet yang turut bersimpati dengan nasibnya selepas kisah itu tular di media sosial.

Sementara itu, Wan Nur Atierah berkata tiada kata-kata yang mampu diluahkan dan digambarkan apabila mendapat tahu kisah beliau meraih perhatian Perdana Menteri untuk membantu melanjutkan pengajian ke UPSI pada 11 Oktober nanti.

Katanya, pada mulanya beliau berhasrat menangguhkan terlebih dahulu pengajiannya dan mencari pekerjaan bagi mencari wang saku.

“Namun selepas itu, saya dimaklumkan pihak pemimpin setempat bahawa pihak tersebut menerusi Perdana Menteri akan membantu menguruskan kemasukan ke UPSI.

“Saya sangat bersyukur dan ingin menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas bantuan yang diberikan ini. Insya-Allah saya akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mengubah nasib keluarga memandangkan ibu Hamsiah Muhammad , 46, juga ibu tunggal,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.